Kami ‘beli insurans’ daripada 60,000 pekerja pelabuhan Itali - ZRA

KUALA LUMPUR - Pelayaran kapal-kapal bantuan kemanusiaan keluar daripada Itali telah dijamin oleh pekerja-pekerja di tiga pelabuhan utama negara itu.
Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Zainal Rashid Ahmad berkata, 60,000 pekerja-pekerja itu telah bersedia untuk menutup semua pelabuhan terlibat sebagai protes jika kapal-kapal GSF diganggu.
“Sistem insurans di Itali ini kuat yang mana kesatuan sekerja di tiga pelabuhan iaitu Genoa, Venice dan Naples, memberi perlindungan kepada semua kapal GSF. Kami ‘beli’ insurans daripada semua 60,000 pekerja di pelabuhan. Mereka kata kalau kapal-kapal GSF diganggu, pelabuhan akan ditutup. (Kalau perkara itu berlaku) Itali akan ada gangguan ekonomi,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman pelayaran GSF yang disertainya bersama 23 aktivis Malaysia yang lain dalam program Buletin Awani Khas pada Khamis.
Tambah Zainal Rashid, persetujuan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni untuk menjual senjata kepada Israel turut berdepan tentangan kuat daripada rakyatnya sendiri.
Ujarnya, bantahan yang turut ditunjukkan oleh pekerja-pekerja pelabuhan itu mendedahkan mereka kepada tindakan pembuangan kerja.
“Walaupun Itali bersetuju untuk eksport senjata (ke Israel). Tetapi senjata-senjata itu tersadai di pelabuhan. Pekerja pelabuhan boleh dibuang kerja kerana tidak ikut dasar kerajaan.
“Tetapi situasi yang ada sekarang ialah kira-kira 500 aktivis GSF dilindungi oleh 60,000 pekerja-pekerja pelabuhan.
“Manakala pekerja pelabuhan yang berisiko hilang kerja, dilindungi oleh rakyat Itali secara keseluruhan daripada tindakan oleh kerajaan. Sistem ‘insurans’ ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Farah Lee yang menyertai GSF berkongsi cerita dari dalam penjara Israel mengenai impak sokongan rakyat Itali terhadap misi flotilla ke Gaza.
"Semasa saya dalam penjara, kami lihat Konsular Itali masuk ke dalam sel kerana terpaksa pujuk aktivis Itali agar keluar awal dengan menandatangani dokumen pengusiran. Mereka buat demikian kerana rakyat Itali desak, jika dalam tempoh 24 jam aktivis GSF dari Itali ini tidak dibebaskan, Itali akan dibakar,” katanya.
Menurut Farah, momentum perjuangan untuk Palestin yang ditonjolkan Itali itu turut dirasai di Sepanyol dan Belanda.
Beliau berpendapat, senario itu menjadi penguat kepada keperluan untuk melaksanakan sertamenyertai misi flotilla ke Gaza dan seumpamanya demi meningkatkan kesedaran mengenai hak Palestin.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye. - Awani
Ringkasan AI
- Pekerja-pekerja di tiga pelabuhan utama Itali bersedia tutup pelabuhan sebagai protes jika kapal-kapal GSF diganggu
- Kesatuan sekerja memberi perlindungan kepada kapal GSF, ancaman akan timbulkan gangguan ekonomi jika kapal diganggu
- Persetujuan Perdana Menteri Itali menjual senjata kepada Israel berdepan tentangan kuat daripada pekerja pelabuhan
- Lebih 500 aktivis GSF termasuk 23 orang Malaysia ditahan tentera rejim Zionis tetapi berjaya dibawa keluar dengan bantuan Turkiye
- Rakyat Itali memberi sokongan kuat terhadap misi GSF, termasuk desakan bebaskan aktivis GSF jika tidak Itali akan dibakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
