DNeX perluas operasi tenaga menerusi kontrak PDB, projek Abu

SHAH ALAM – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) terus mencatat kemajuan dalam sektor tenaga apabila memperkukuh kedudukan dalam bidang hiliran dan hulu minyak serta gas menerusi kontrak baharu bersama Petronas Dagangan Berhad (PDB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Faizal Sham Abu Mansor berkata, kerjasama dengan PDB itu sejajar dalam strategi syarikat memperluas operasi hiliran sekali gus meningkatkan pertumbuhan hasil kumpulan.
“Pada masa sama, peluang ini membolehkan DNeX Energy memanfaatkan keupayaan syarikat untuk menawarkan perkhidmatan melalui model Bukti Konsep (POC) sebelum melangkah ke peluang berskala penuh selepas tempoh itu tamat.
“Bagi memperkukuh lagi kedudukannya sektor hulu, DNeX melalui subsidiarinya, Ping Petroleum Sdn Bhd (PPSB) telah menerima kelulusan daripada Petronas Malaysia Petroleum Management (MPM) bagi Pelan Pembangunan dan Penamatan Medan (FDAP) untuk kluster BETA serta medan yang belum dibangunkan dalam kluster Abu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
DNeX melalui anak syarikatnya, OGPC Sdn Bhd (OGPC) telah dianugerahkan kontrak POC oleh PDB bagi penyelenggaraan menyeluruh perkhidmatan stesen minyak.
Kontrak POC itu bermula pada 1 Julai 2025 dan akan tamat pada 1 Julai 2026 di mana OGPC bertanggungjawab terhadap 50 stesen Petronas di sekitar Lembah Klang.
PDB pula ketika ini mengendalikan lebih 1,000 stesen di seluruh negara, manakala terdapat kira-kira 3,500 stesen pelbagai jenama di Malaysia.
Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada kontrak tersebut, OGPC akan menawarkan rangkaian perkhidmatan lengkap yang turut memanfaatkan penyelesaian teknologi maklumat serta perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) DNeX IT.
“Antara perkhidmatan disediakan termasuk penyelenggaraan penuh peralatan stesen, penggantian alat ganti, pengurusan pangkalan data aset dan inventori serta penyediaan pasukan pengurusan projek.
“Perkhidmatan lain merangkumi kerja-kerja penambahbaikan, laporan prestasi bersepadu, penyediaan kelengkapan peralatan, pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) mengikut keperluan setempat selain perkhidmatan pusat kawalan dan sokongan pusat panggilan,” jelasnya.
Faizal Sham berkata, kelulusan FDAP oleh Petronas Malaysia Petroleum Management (MPM) kepada Ping Petroleum Sdn Bhd (PPSB) memberi lampu hijau kepada pembangunan lima medan yang secara kolektif dirujuk sebagai Kawasan Pembangunan ‘Greater Abu’.
“Kelulusan FDAP itu merangkumi medan Bubu, Enau dan Bunga Tasbih dalam kluster BETA, serta medan Abu Kecil dan 'Abu South-West' dalam kluster Abu.
"Semuanya terletak secara strategik antara empat hingga tujuh kilometer dari Platform Pemprosesan Pusat Abu (Abu CPP) sedia ada.
“Pembangunan yang diperluas ini mewujudkan penjimatan besar dalam perbelanjaan operasi (OPEX) serta menjadikan projek gabungan itu lebih menguntungkan serta bernilai tinggi berbanding medan Abu secara bersendirian,” ujarnya.
Menurut beliau, pembangunan ‘Greater Abu’ berada di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Aset Hujung Hayat (LLA) dan Aset Medan Kecil (SFA) di Malaysia yang diperkenalkan Petronas untuk mengekalkan pengeluaran daripada medan matang dan marginal yang belum diterokai.
“Selain kelulusan FDAP, Ping turut memperoleh susunan ‘offtake’ minyak mentah bagi hasil pengeluarannya dari Anasuria dan Abu bersama Petronas Trading Corporation (PETCO).
“Susunan serta kelulusan FDAP bagi kluster BETA menyerlahkan kepercayaan Petronas terhadap keupayaan Ping melaksanakan pembangunan kawasan Greater Abu dan memastikan penghantaran minyak mentah yang mampan kepada PETCO,” katanya.
Faizal Sham, pembangunan Greater Abu akan mengikuti pelan kejayaan yang sama seperti dilaksanakan di Kluster Anasuria di Laut Utara Britain.
“Ping memperoleh aset medan matang itu dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran serta menambah jumlah pengeluaran melalui telaga baharu dan penyambungan sumber berhampiran dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada.
“Pelan pembangunan kami dan susunan ‘offtake’ yang dimeterai bersama PETCO juga akan memastikan aliran tunai yang mampan kepada Ping sebaik sahaja pengeluaran pertama minyak di medan Abu bermula,” kata beliau.
Jelas beliau, Ping kini beroperasi melalui dua cabang utama iaitu PPSB di Malaysia dan Ping Petroleum UK PLC (PPUK) bagi operasi di Britain.
“Fokus terdekat adalah terhadap pengaktifan semula Kluster Abu yang dijangka menghasilkan minyak pertama pada 2026 dengan kadar awal 3,000 tong sehari.
Pembangunan Abu dan BETA menandakan fasa seterusnya dalam rancangan DNeX untuk mengulangi model operasi kos rendah yang terbukti berjaya di Britain apabila kumpulan itu mengendalikan Kluster Anasuria secara menguntungkan sejak tahun 2016,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
