Perluas operasi kebersihan premis makanan secara mengejut

Kompleks medan selera tersebut telah dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa hari Isnin hingga 8 Jun nanti. Foto MBPP
Kompleks medan selera tersebut telah dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa hari Isnin hingga 8 Jun nanti. Foto MBPP
A
A
A

KEBERSIHAN premis makanan dan perniagaan adalah aspek penting dalam menjamin kesihatan awam serta keselamatan pengguna.

Namun begitu, pemeriksaan berkala yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mendapati sebilangan premis beroperasi dalam keadaan yang tidak memuaskan dari segi kebersihan.

Seperti yang terbaharu berlaku di George Town, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah kompleks medan selera di daerah Barat Daya ditutup selama 14 hari bermula Isnin selepas mendapati kawasan penyediaan makanan dan dapur premis itu dipenuhi lipas.

MBPP dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa menerusi Operasi Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan, pihaknya mendapati tahap kebersihan premis berkenaan kurang memuaskan, iaitu berada di bawah standard yang ditetapkan.

Premis yang gagal mengekalkan tahap kebersihan yang ditetapkan bukan sahaja melanggar undang-undang kesihatan persekitaran, malah turut membahayakan pelanggan.

Antara kesalahan lain yang sering dikesan termasuk lantai dan peralatan yang kotor, penyimpanan bahan mentah secara tidak bersih, kehadiran serangga atau haiwan perosak serta pengendali makanan yang tidak mengikut prosedur kebersihan diri.

Bagi memastikan kepatuhan, pihak berkuasa perlu meningkatkan kekerapan pemeriksaan mengejut ke atas premis-premis makanan.

Premis yang didapati melanggar peraturan wajar dikenakan pelbagai tindakan segera seperti kompaun, notis penutupan sementara di bawah Akta Makanan 1983, atau penggantungan lesen perniagaan.

Langkah tersebut penting untuk memberi peringatan kepada para pengusaha agar lebih bertanggungjawab dan serius dalam memastikan persekitaran perniagaan sentiasa bersih dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Pematuhan kepada garis panduan kebersihan bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelanggan, tetapi juga mencerminkan profesionalisme perniagaan.

Tindakan penguatkuasaan juga perlu disokong dengan pendidikan dan kesedaran yang berterusan.

Selain itu, kursus pengendalian makanan, latihan kebersihan dan bimbingan berkala kepada pengusaha premis sangat penting untuk mengelakkan kesalahan berulang.

Amalan kebersihan bukan sekadar satu keperluan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral terhadap pelanggan.

Pihak berkuasa juga perlu tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan, manakala para pengusaha pula harus memikul tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang bersih dan selamat.

Usaha bersama antara kerajaan, peniaga dan pengguna mampu membentuk budaya perniagaan yang lebih bertanggungjawab serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!