TNB meterai MoU perkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan air di negara Teluk

TENAGA Nasional Berhad (TNB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO), telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Al-Dhow Engineering General Trading & Contracting Co WLL bagi memperkukuh kehadirannya di rantau Teluk.
TNB dalam satu kenyataan berkata, MoU itu dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46–GCC 2025 bagi menjalin kerjasama strategik dalam sektor penjanaan tenaga dan penyulingan air di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selama dua tahun.
“Negara yang terlibat termasuk Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
“Perkongsian strategik ini mencerminkan peningkatan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kuwait sekali gus menyerlahkan peranan negara yang semakin meningkat di Timur Tengah, khususnya dalam sektor infrastruktur tenaga,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Majlis pertukaran dokumen tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025, disaksikan oleh Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
TNB REMACO diwakili Pengarah Urusannya, Ts Abidin Sarjo, manakala Al-Dhow Engineering diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joe Georges Chidiac.
Menurut kenyataan itu lagi, TNB terus menawarkan penyelesaian tenaga yang berkualiti, diyakini dan mampan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat sebagai peneraju dalam peralihan tenaga negara.
“Menerusi anak syarikat penjanaan kuasa, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), kami menyediakan penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh mengikut keperluan sesebuah negara.
“TNB mempunyai keupayaan menyeluruh merangkumi seluruh kitaran hayat projek, dari pembangunan loji jana kuasa hingga operasi dan penyelenggaraan. Ini membolehkan pelaksanaan infrastruktur tenaga yang mampan serta bersedia menghadapi keperluan masa depan di peringkat global,” kata kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
