Malaysia, Pakistan sepakat desak tindakan konkrit tamat penderitaan di Gaza

Anwar mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Foto Bernama
Anwar mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Malaysia dan Pakistan sepakat bahawa mesti ada tindakan konkrit bagi menamatkan penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza susulan kekejaman berterusan rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia amat menghargai pendirian tegas Pakistan yang disuarakan dalam forum antarabangsa, termasuk di Doha baru-baru ini berhubung isu kemanusiaan di Gaza.

“Saya amat menghargai kenyataan tegas Pakistan, terutama dalam forum di Doha baru-baru ini mengenai isu Palestin dan Gaza. Kita sepakat bahawa mesti ada tindakan konkrit bagi menamatkan penderitaan berjuta-juta rakyat di wilayah itu,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, sempena lawatan negara selama tiga hari bermula Ahad.

Anwar berkata, Malaysia menyokong inisiatif damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump walaupun kerajaan mempunyai beberapa keraguan terhadap sebahagian isi cadangan itu.

Namun katanya, penghentian segera serangan dan pembunuhan oleh rejim Zionis perlu menjadi keputusan bersama dunia Arab dan negara Islam.

“Sekurang-kurangnya apabila pengeboman dan pembunuhan dihentikan oleh rejim Zionis di Gaza, itu satu keputusan yang mesti dibuat secara kolektif oleh negara-negara Arab dan Islam,” katanya.

Ujar Anwar, kebanyakan negara di dunia termasuk Amerika Syarikat diyakini dapat membantu merealisasikan keamanan yang diidamkan rakyat Palestin.

“Pada masa yang sama, akses kemanusiaan amat penting. Saya tidak dapat membayangkan, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Pakistan, bahawa pada tahun 2025 selepas begitu banyak penderitaan, masih ada wanita dan bayi yang ditembak serta dibunuh. Ia amat mengejutkan bagi saya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, Malaysia dan Pakistan berada di pihak yang benar dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin yang tertindas.

“Insya-ALLAH, pendirian bersatu kita dalam menyokong inisiatif damai ini mungkin dapat membantu merealisasikan aspirasi untuk keamanan yang berkekalan,” katanya.

Lawatan rasmi Muhammad Shehbaz ke Malaysia bermula 5 hingga 7 Oktober turut menyaksikan kedua-dua negara menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, pendidikan tinggi, pelancongan, halal, usaha memerangi rasuah serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Pakistan sepakat perlukan tindakan konkrit untuk hentikan penderitaan rakyat Palestin
  • Perdana Menteri Malaysia hargai pendirian Pakistan di forum antarabangsa mengenai Gaza
  • Anwar Ibrahim menyokong inisiatif damai 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika walaupun ada keraguan
  • Keperluan penghentian segera serangan oleh rejim Zionis disepakati sebagai keputusan bersama negara Arab dan Islam
  • Pendirian Malaysia dan Pakistan dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin adalah bersatu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!