Normalisasi ‘duit upah’ jejaskan pembentukan integriti

Amalan memberi 'duit upah' kepada anak-anak boleh menjadi benih kepada budaya rasuah. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nor Halmey)
Amalan memberi 'duit upah' kepada anak-anak boleh menjadi benih kepada budaya rasuah. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nor Halmey)
A
A
A

SHAH ALAM – Amalan memberi 'duit upah' untuk menutup kesalahan boleh menjejaskan pembentukan nilai integriti dalam kalangan generasi muda kerana ia menjadikan anak-anak terbiasa melihat ganjaran sebagai jalan keluar daripada kesilapan.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, budaya berkenaan menyebabkan mereka tidak lagi belajar menanggung akibat perbuatan sendiri, sebaliknya percaya bahawa kesalahan boleh diselesaikan dengan wang atau imbuhan.

“Lama-kelamaan, nilai jujur, tanggungjawab dan amanah akan terhakis jika sikap itu tidak dibendung sejak awal.

“Sikap seperti ini, jika dibiarkan, boleh berkembang menjadi budaya rasuah apabila mereka dewasa, di mana sogokan dianggap perkara biasa untuk mendapatkan sesuatu secara tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, pada masa sama, ibu bapa memainkan peranan utama sebagai model teladan kepada anak-anak dalam membentuk nilai kejujuran dan amanah sejak kecil.

“Ibu bapa perlu menunjukkan contoh sikap jujur, berani mengakui kesalahan dan menolak sebarang bentuk penipuan agar nilai integriti dapat dipupuk dalam diri anak-anak.

“Mereka juga harus mendidik anak untuk memahami bahawa setiap kesalahan perlu diperbetulkan dengan tanggungjawab, bukan dengan ganjaran.

“Melalui bimbingan yang konsisten, nilai amanah dan kejujuran akan tertanam kukuh dalam diri anak-anak sekali gus menjadi benteng awal daripada terjebak dengan amalan rasuah apabila dewasa kelak,” katanya.

Tambah beliau, selain itu nilai integriti tidak hanya terbentuk di rumah tetapi turut dipengaruhi oleh persekitaran sosial, sekolah, tempat kerja dan komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Jika setiap lapisan masyarakat menegakkan prinsip kejujuran, akauntabiliti dan tanggungjawab, maka budaya menolak rasuah akan menjadi norma bersama.

“Institusi seperti sekolah, organisasi dan agensi kerajaan juga perlu memperkukuh pendidikan moral dan etika agar mesej integriti disampaikan secara menyeluruh, sekali gus membina ekosistem masyarakat yang bersih, telus dan bebas daripada rasuah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa budaya memberi 'duit upah' atau menutup kesalahan dengan ganjaran kecil mungkin tampak remeh, tetapi hakikatnya ia menjadi benih kepada amalan rasuah yang boleh merosakkan generasi akan datang.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, pembentukan nilai integriti perlu bermula dari rumah dan diperkuat di setiap lapisan masyarakat.

Ringkasan AI

  • Amalan memberi 'duit upah' untuk menutup kesalahan boleh menjejaskan nilai integriti generasi muda
  • Budaya ini menyebabkan anak-anak percaya kesalahan boleh diselesaikan dengan wang
  • Sikap mengambil jalan mudah boleh berkembang menjadi budaya rasuah di masa depan
  • Ibu bapa memainkan peranan sebagai model integriti dan kejujuran untuk anak-anak
  • Nilai integriti dipengaruhi oleh rumah, sekolah, tempat kerja, dan komuniti, memerlukan pendidikan moral dan etika menyeluruh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!