Mencari Ramlee buka peluang generasi muda kenali Seniman Agung

Megat Shahrizal (tengah) bersama barisan pelakon Mencari Ramlee.
Megat Shahrizal (tengah) bersama barisan pelakon Mencari Ramlee.
A
A
A

BAKAL menjengah pawagam pada 19 Jun ini, filem Mencari Ramlee bukan filem berat, sebaliknya sebuah kisah fiksyen yang mengangkat figura legenda seni Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai subjek dan inspirasi dalam penghasilan filem.

Malah, pengarah dan pelakon, Megat Sharizal Mohamed Yusoff berkata, jalan cerita filem arahan sulungnya itu mudah difahami dan mampu menjadi pencetus kepada Generasi Alfa untuk mengenali seniman tersohor tanah air itu.

“Filem ini boleh buat orang terhibur tetapi lebih penting mesej yang hendak disampaikan kepada generasi muda untuk kenal siapa P Ramlee.

“Generasi Alfa hari ini ramai dah tak kenal P Ramlee, jadi bila tengok filem ini mungkin boleh menjadi pencetus kepada mereka untuk lebih kenal dan tengok balik cerita P Ramlee, dan pada masa sama kita kena hargai bakat seni yang datang selepas beliau,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem itu, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pencinta seni terutama golongan muda dan peminat filem Melayu, supaya dapat menyokong naskhah pertamanya dengan menonton di pawagam berhampiran, kerana tiga hari pertama merupakan tempoh kritikal dalam menentukan kelangsungan tayangan filem itu.

“Setiap pawangan menurut Skim Wajib Tayang perlukan bilangan penonton sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah tempat duduk dan kalau kurang (tayangan) boleh ditarik balik,” katanya.

Megat Sharizal turut mengakui agak gementar menanti reaksi penonton namun optimis akan mendapat kutipan memberangsangkan meskipun filem itu dihasilkan dengan perbelanjaan minimum.

Mengambil contoh kejayaan filem Imaginur dan Babah, beliau berkata, kedua-dua filem itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung biarpun sekadar menggunakan modal kecil dan berharap perkara sama akan berlaku kepada Mencari Ramlee.

Artikel Berkaitan:

Mencari Ramlee mengangkat kisah yang bermula sehari selepas pemergian Allahyarham P Ramlee pada 30 Mei 1973.

Filem itu menampilkan Tony Eusoff dan Datin Sofia Jane selaku tunjang utama yang memainkan watak Zakaria dan Zaiton, mengisahkan Zakaria, seorang peniru gaya atau impersonator P Ramlee yang mempunyai masalah kewangan kerana populariti P Ramlee yang sudah merosot ketika itu.

Dek kerana terdesak mahu melangsaikan hutangnya dengan Yusuf, Zakaria bersetuju menjadi ‘P Ramlee’ bagi membahagiakan Zaiton yang menghidap amnesia dan terlalu meminati seniman agung tersebut sehingga menyangka Zakaria ialah P Ramlee. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!