Sukarelawan GSF dedah dipukul, dipaksa sujud ala 'commando rest’ tiga jam

Mohd Asmawi (kiri) dan Razali.
Mohd Asmawi (kiri) dan Razali.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan menerima layanan buruk daripada pihak Israel sepanjang tempoh ditahan secara tidak sah, termasuk dipukul dan diseret dengan kasar sejauh kira-kira 200 meter ketika berada di pusat tahanan imigresen.

Situasi itu berlaku selepas Mohd Asmawi Mukhtar dan ratusan sukarelawan lain diculik apabila kapal yang dinaiki mereka dipintas tentera laut Israel dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, baru-baru ini.

Mohd Asmawi berkata, lebih memedihkan, para sukarelawan turut dipaksa sujud di atas lantai tar dan mengekalkan posisi ala-ala ‘commando rest’ selama tiga jam.

“Kami para sukarelawan perlu naik ke Pelabuhan Ashdod, Tel Aviv sebelum dibawa ke pusat tahanan imigresen di situ. Sampai sahaja di sana, memang semua dipukul dan dibelasah.

“Mereka pegang tangan dan kepala kami dari belakang, kemudian tarik kira-kira 200 meter sebelum diletakkan bersama sukarelawan lain di satu tempat.

“Mereka paksa kami sujud atas tar, semua kena buat ‘commando rest’. Kena bertahan selama tiga jam,” katanya menerusi penstriman langsung Astro Awani pada Ahad.

Menurut Mohd Asmawi, dia ditahan selama dua malam di sebuah penjara yang tidak diketahui lokasinya dan tidak dibenarkan berjumpa peguam sepanjang tempoh berkenaan.

“Ketika dibawa menaiki lori tahanan ala Black Maria, kami dibiarkan hampir sejam tanpa pendingin hawa sehingga sukar bernafas.

“Apabila mereka menghidupkan pendingin hawa, suhunya pula terlalu sejuk sampai kami semua menggigil. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke penjara.

Artikel Berkaitan:

“Setibanya di sana, kami terus dipenjarakan tanpa diberi akses kepada peguam,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi sukarelawan GSF, Razali Awang, turut berkongsi pengalaman ngeri apabila kapal yang dinaikinya, Inana, diserang dan dirampas tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa, kira-kira 34 batu nautika dari Gaza.

“Semasa kapal kami ditawan, kami seramai sembilan orang dikurung dalam kabin sempit berukuran kira-kira 2 x 3 meter.

“Dalam ruang kecil itu, enam orang tidur di atas katil yang sama, dua orang di lantai dan seorang lagi terpaksa berdiri hampir 20 jam,” katanya.

Menurut Razali, ketika berada di pusat tahanan imigresen, mereka langsung tidak diberi makanan atau minuman dan terpaksa melalui enam hingga tujuh peringkat pemeriksaan sebelum dimasukkan ke penjara.

“Saya ingin tegaskan bahawa kami diculik, bukan ditangkap, kerana kejadian berlaku di perairan antarabangsa, kawasan yang sepatutnya bebas dilalui oleh semua pihak tanpa mengira warganegara,” tegasnya.

Ringkasan AI

  • Seorang sukarelawan GSF mendedahkan menerima layanan buruk daripada pihak Israel termasuk dipukul dan diseret
  • Kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza diculik oleh tentera laut Israel
  • Para sukarelawan dipaksa sujud di atas lantai tar dan mengekalkan posisi commando rest selama tiga jam
  • Mohd Asmawi ditahan selama dua malam tanpa akses kepada peguam dan mengalami keadaan buruk dalam lori tahanan
  • Razali Awang dan sukarelawan lain dikurung dalam kabin sempit ketika kapal dinaiki dirampas oleh tentera Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!