Aktivis GSF mogok lapar mahu makanan diberikan kepada rakyat Gaza

Nadir
Nadir
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 34 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan mengadakan mogok lapar sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Gaza serta bantahan terhadap layanan keras rejim Israel di penjara.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir al-Nuri berkata, maklumat itu diperoleh daripada pasukan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) yang telah menemui sebahagian aktivis di penjara terbabit.

Beliau menjelaskan, tindakan mogok lapar itu menunjukkan kekuatan moral serta keazaman tinggi para aktivis untuk terus mempertahankan perjuangan kemanusiaan mereka.

“Salah seorang aktivis menyatakan dalam perbicaraan bahawa dia mahu makanannya diberikan kepada rakyat Gaza. Seorang lagi berikrar untuk terus berpuasa daripada makan dan minum sehingga semua tahanan yang memerlukan ubat-ubatan menerima rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, dua aktivis wanita masing-masing dari Sweden dan Sepanyol turut menjadi mangsa layanan kasar apabila mereka diseret dan dipaksa bergambar bersama bendera Israel, satu tindakan yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap nilai kemanusiaan dan solidariti antarabangsa.

Beliau berkata, laporan daripada peguam Adalah turut mengesahkan ramai aktivis tidak mendapat akses kepada wakil guaman atau perwakilan diplomatik dalam tempoh 24 jam pertama penahanan.

“Setakat ini, Adalah telah berjaya menemui 300 daripada 462 tahanan, sementara selebihnya dipercayai telah dihantar pulang ke negara masing-masing,” ujarnya.

Katanya lagi, terdapat unsur diskriminasi jantina dan perkauman apabila tahanan wanita, individu berketurunan Arab serta penganjur utama pergerakan dilayan lebih keras berbanding tahanan lain.

“Penjara yang menempatkan mereka sememangnya terkenal dengan layanan zalim terhadap tahanan Palestin. Kini, aktivis GSF turut menjadi mangsa penindasan sama, malah lebih berat berbanding misi terdahulu. Ia jelas bertujuan menakut-nakutkan mereka agar tidak mengulangi misi bantuan ke Gaza,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun berdepan tekanan fizikal dan emosi, Nadir berkata, semangat para aktivis kekal tinggi dan tidak goyah.

“Kesemua mereka berpegang teguh bahawa apa pun yang berlaku, perjuangan ini adalah untuk Palestin dan Gaza,” tambahnya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan aktivis yang masih berada di penjara Israel, sambil menegaskan pihaknya akan terus mendesak pembelaan terhadap semua yang ditahan.

“Doakan mereka yang masih di dalam penjara. Selepas ini kita akan teruskan demonstrasi di hadapan kedutaan yang tidak bersungguh membantu aktivis mereka,” tegasnya.

Ringkasan AI

  • Seramai 34 aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla mogok lapar sebagai solidariti untuk rakyat Gaza
  • Aktivis mengalami layanan keras di penjara, termasuk dicabut hak akses kepada guaman
  • Dua aktivis wanita dari Sweden dan Sepanyol diseret dan dipaksa bergambar dengan bendera Israel
  • Peguam Adalah berjaya menemui 300 dari 462 tahanan, ada yang sudah dihantar pulang
  • Nadir al-Nuri menyeru rakyat Malaysia doakan keselamatan aktivis dan terus mendesak pembelaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!