Ditahan Israel pengalaman paling buruk - Ilya Balqis

ISTANBUL - Salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ilya Balqis menyifatkan insiden penahanan oleh tentera Israel ketika misi kemanusiaan ke Gaza sebagai pengalaman paling buruk dalam hidupnya.
“Kami digari dengan tangan di belakang dan tidak boleh berjalan.
"Malah ada antara kami yang dipaksa berbaring dengan muka ke bawah, kemudian kami tidak diberi air dan ada juga yang tidak diberikan ubat,” katanya kepada AFP di Lapangan Terbang Istanbul.
Sebelum ini, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada Sabtu.
Kumpulan itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.
Sementara itu, Ahli majlis wilayah dari Lombardy, Itali, Paolo Romano turut berkongsi pengalaman, dia memberitahu, mereka dipintas oleh kapal besar tentera Israel dan ada bot diserang dengan meriam air.
Katanya, semua bot diambil alih oleh anggota bersenjata berat Israel dan dibawa ke darat.
“Mereka memaksa kami berlutut, muka menghadap ke bawah. Jika kami bergerak, mereka pukul kami.
"Tentera Israel mentertawakan, menghina dan memukul kami. Mereka menggunakan keganasan secara psikologi serta fizikal.
"Kami juga dipaksa untuk mengaku telah memasuki Israel secara haram walhal ia hanya tuduhan memandangkan kami berada di perairan antarabangsa dan adalah hak kami untuk berada di situ.
Tambah Paolo, setibanya di darat, kumpulan GSF dibawa ke penjara dan ditahan tanpa dibenarkan keluar serta tidak diberikan air botol.
“Mereka membuka pintu pada waktu malam dan menjerit kepada kami sambil mengacukan senjata untuk menakutkan kami.
“Kami diperlakukan seperti haiwan," ujarnya.
Wartawan Itali, Lorenzo D'Agostino, yang turut serta dalam flotilla tersebut bagi membuat liputan mendedahkan, mereka diculik di perairan antarabangsa ketika berada 55 batu (88 kilometer) dari Gaza.
“Ia adalah dua hari yang amat menyeksakan di penjara. Kami dibebaskan berkat tekanan masyarakat antarabangsa yang menyokong Palestin.
“Saya benar-benar berharap situasi ini berakhir segera kerana layanan terhadap kami sangat kejam," jelasnya.
Aktivis Libya, Malik Qutait berkata, dia tidak gentar dan berikrar akan terus cuba untuk sampai ke Gaza.
“Saya akan kumpulkan kumpulan saya, aturkan bekalan ubat, bantuan dan kapal. Saya akan cuba lagi,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Salah seorang rakyat Malaysia menyifatkan insiden penahanan oleh tentera Israel ketika dalam misi kemanusiaan ke Gaza sebagai pengalaman paling buruk
- Mereka digari dan diperlaku buruk termasuk tidak diberikan air serta ubat
- Sejumlah 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF dibebaskan dan telah tiba di Istanbul, Turkiye
- Anggota bersenjata berat Israel mengambil alih kapal, menahan serta memperlakukan kumpulan GSF dengan kekerasan fizikal dan psikologi
- Aktivis Libya dalam kumpulan itu berikrar akan terus cuba untuk sampai ke Gaza walaupun menghadapi kekerasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

