Pendekatan mendidik, bukan hukuman jalan terbaik tangani buli – Fadhlina

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa pendekatan mendidik dan pencegahan secara holistik perlu menjadi keutamaan dalam menangani isu buli di sekolah, bukannya semata-mata menjatuhkan hukuman kepada pelaku.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semua pihak perlu memberi perhatian terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes buli serta meningkatkan kesedaran seawal mungkin memandangkan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur.
“Perlindungan dan pencegahan mesti dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut hukuman.
“Tujuan bengkel dan program kesedaran hari ini adalah untuk melihat keseluruhan aspek perlindungan kanak-kanak, termasuk hak dan kesejahteraan mereka,” katanya ketika ditemui semasa Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti di sini pada Ahad.
Menurutnya, KPM kini memberi tumpuan kepada pendekatan mendidik dalam menangani salah laku murid berbanding hanya mengenakan tindakan disiplin keras seperti penggantungan atau buang sekolah.
“Ramai yang kata mudah sahaja, ‘rotan sahaja, wajib’, tetapi tidak semudah itu. Kita mesti mengambil kira semua aspek pembangunan kanak-kanak.
“Apabila kita menggantung atau membuang pelajar, mereka tetap akan kembali ke dalam sistem pendidikan kita untuk dididik semula,” ujarnya.
Fadhlina berkata, pendekatan mendidik ini menuntut kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberi advokasi dan pendidikan berkaitan buli mental yang kini semakin membimbangkan.
“Buli mental kesannya sangat mendalam dan boleh membawa kepada masalah lebih serius jika tidak dibendung dari awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penganjuran program kesedaran komuniti seperti Kempen Jelajah Anti Buli 2025 dan menegaskan pentingnya komitmen bersama dalam menangani isu buli.
“Saya selalu sebut, ‘it takes a village to raise a child’. Komitmen ini bukan hanya tanggungjawab sekolah atau kementerian tetapi juga seluruh komuniti termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan menekankan pendekatan mendidik dan pencegahan holistik atasi isu buli berbanding hukuman kepada pelaku
- Semua pihak perlu meningkatkan kesedaran dan mematuhi SOP berkaitan kes buli
- Perlindungan dan pencegahan mengambil kira aspek keseluruhan hak dan kesejahteraan kanak-kanak
- Pendekatan mendidik melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk PDRM untuk menangani masalah buli mental
- Penganjuran program kesedaran dan komitmen bersama dari semua lapisan masyarakat ditekankan dalam menangani isu buli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

