Perarakan kenderaan berhias Kelantan bangkitkan semangat perpaduan

KOTA BHARU – Kemeriahan perarakan kenderaan berhias sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Sabtu mencerminkan kecintaan rakyat terhadap institusi diraja serta membangkitkan semangat perpaduan masyarakat pelbagai lapisan.
Justeru, rakyat Kelantan mahu acara berwarna-warni itu diteruskan pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.
Pembantu kedai, Mohd Hafizi Abdullah, 37, berkata, perarakan tersebut mengingatkannya kepada acara besar-besaran yang pernah diadakan lebih 10 tahun lepas, lengkap dengan persembahan silat, dikir barat dan pertunjukan kebudayaan.
“Kalau dibuat tiap-tiap tahun, saya pasti rakyat akan sambut dengan lebih meriah.
“Acara ini dapat menyatukan rakyat dan bersama-sama ambil bahagian terutama dalam menyaksikan perarakan kenderaan berhias,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut berkenan berangkat memeriahkan acara, Sultan Muhammad V dan Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah serta Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Sementara itu, pencanting batik, Syahida Che Kamal, 26, berkata, perarakan seperti itu wajar dijadikan acara tahunan negeri kerana turut memberi peluang kepada generasi muda mengenali budaya dan warisan Kelantan.
“Saya bawa dua anak kecil sebab nak tunjuk pada mereka kemeriahan budaya kita.
“Dulu masa saya sekolah rendah pun pernah tengok kenderaan berhias, sekarang nak anak-anak pula lihat,” ujarnya.
Pembantu tadbir, Nur Diyana Yahya, 35, berkata, suasana perarakan kali ini begitu meriah dan membangkitkan semangat kekitaan apabila melihat rakyat berkumpul tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Bukan senang nak tengok suasana macam ini, ramai datang bawa keluarga, ada yang dari jauh semata-mata nak saksikan perarakan.
“Kalau boleh biarlah dibuat setiap tahun kerana boleh kukuhkan hubungan dan perpaduan,” katanya.
Nur Diyana dari Taman Tengku Anis itu hadir bersama dua anak dan ibu yang berusia 57 tahun.
Perarakan kenderaan berhias yang diadakan sempena pemasyhuran perayaan ulang tahun keputeraan ke-56 Sultan Muhammad V itu disertai 17 kenderaan berhias mewakili jabatan negeri, persekutuan dan pihak berkuasa tempatan.
Acara dihadiri hampir 50,000 pengunjung itu bermula pada jam 8 malam dengan perarakan kenderaan berhias sejauh dua kilometer dari Kota Darulnaim ke Stadium Sultan Muhammad IV, perarakan beca berhias, motosikal berkuasa tinggi dan pertunjukan akrobatik yang menghiburkan penonton.
Malam penuh gemilang itu berakhir sekitar jam 12 tengah malam dengan pertunjukan bunga api yang menerangi langit Kota Bharu.
Ringkasan AI
- Kemeriahan perarakan kenderaan sempena ulang tahun Sultan Kelantan mencerminkan cinta rakyat kepada diraja dan semangat perpaduan
- Rakyat Kelantan berharap acara ini akan diteruskan setiap tahun
- Perarakan kenderaan berhias mengingatkan kepada persembahan silat, dikir barat dan kebudayaan yang pernah diadakan lebih 10 tahun lepas
- Penconteng batik berpendapat acara ini memberi peluang kepada generasi muda mengenali budaya Kelantan
- Hampir 50,000 pengunjung hadir, acara berlangsung dengan perarakan kenderaan, beca berhias, motosikal berkuasa tinggi dan akrobatik, berakhir dengan pertunjukan bunga api
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

