Sultan Kelantan titah Persekutuan segerakan projek KBKK, LTU

Sultan Muhammad V berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-56 di Istana Balai Besar pada Isnin. Foto Bernama
Sultan Muhammad V berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-56 di Istana Balai Besar pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyediaan infrastruktur Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini.

Baginda bertitah, kemudahan tersebut menjadi laluan utama ke Kompleks Sukan Bukit Merbau dan jalan-jalan susur berkaitan perlu dipercepatkan bagi memastikan projek siap menjelang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2028.

Menurut baginda, pembangunan itu penting bagi kelancaran acara sukan terbesar negara yang akan dianjurkan di Kelantan sebagai tuan rumah.

“Beta menyeru agar kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan penyediaan infrastruktur jalan penghubung ke kompleks tersebut, termasuk projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama serta penaiktarafan dan pembinaan jalan-jalan susur ke Kompleks Sukan Bukit Merbau,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-56 di Istana Balai Besar di sini pada Isnin.

Dalam titah sama, baginda menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan positif projek Kompleks Sukan Bukit Merbau yang kini menjadi mercu baharu pembangunan sukan Kelantan.

Mengulas perkembangan ekonomi negeri, Sultan Muhammad V bertitah, Kelantan mencatat pertumbuhan 3.6 peratus tahun lalu, meningkat daripada 2.6 peratus pada tahun sebelumnya dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar keluaran dalam negeri kasar (KDNK).

“Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 5.1 peratus dengan dipacu permintaan domestik, manakala Kelantan merekodkan pertumbuhan 3.6 peratus.

“Semua sektor ekonomi negeri ini menunjukkan prestasi positif,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut menyambut baik pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertemakan Melakar Semula Pembangunan yang memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup rakyat serta penstrukturan semula ekonomi negara.

“Beta menyambut baik RMK13 yang melibatkan beberapa inisiatif penting untuk negeri Kelantan, termasuk pembangunan Hab Ekonomi Biru, penaiktarafan infrastruktur bunkering, industri pembinaan dan pembaikan kapal, serta menaik taraf Pelabuhan Tok Bali.

“Sehubungan itu, beta menyeru agar semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta berpadu usaha merealisasikan agenda ini,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menekankan potensi Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan negara, selain menyeru kerajaan negeri mempromosikan pelbagai produk pelancongan baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 termasuk pelancongan bandar, kebudayaan, warisan sejarah, kesenian, gastronomi, pesisir pantai, eko, agro dan geopelancongan.

“Beta percaya rakyat Kelantan yang terkenal dengan keramahan dan nilai hospitaliti tinggi berupaya melonjakkan pelancongan berasaskan komuniti sebagai produk pelancongan masa depan negeri,” titah baginda sambil mengingatkan aspek kebersihan, keindahan landskap dan kemudahan awam perlu dipertingkatkan.

Ringkasan AI

  • Sultan Kelantan menitahkan kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyediaan infrastruktur jalan ke Kompleks Sukan Bukit Merbau menjelang Sukma 2028
  • Kemudahan jalan utama termasuk Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama penting untuk kelancaran acara sukan
  • Titah baginda mencatat pertumbuhan ekonomi Kelantan 3.6 peratus, lebih tinggi daripada tahun sebelumnya dengan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang terbesar
  • Sultan Muhammad V menyambut baik Rancangan Malaysia Ke-13 yang merangkumi pembangunan Hab Ekonomi Biru dan peningkatan infrastruktur penting di Kelantan
  • Baginda menekankan potensi Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan dan menyeru promosi pelancongan baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!