Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke perarakan kenderaan berhias

A
A
A

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke perarakan kenderaan berhias bersempena pemasyhuran perayaan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-56 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Turut berangkat ke acara penuh warna-warni itu ialah Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Acara dimulakan dengan bacaan doa diikuti persembahan silat, dikir barat dan perarakan busana Melayu sebelum disusuli kemunculan gajah serta beca yang mencuri perhatian.

Kemudian, perarakan 17 kenderaan berhias mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan negeri dan persekutuan menjadi tumpuan utama pada malam yang penuh meriah itu.

Suasana meriah dirasai bermula 5 petang hingga 8 malam apabila kira-kira 50,000 rakyat mula membanjiri kawasan dari Kompleks Kota Darul Naim hingga Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyaksikan acara yang kali terakhir diadakan lebih 10 tahun lalu.

Bagi Nur Diyana Yahya, 35, dari Taman Tengku Anis, perarakan kali ini mengimbau kembali kenangan zaman kecil apabila dapat melihat semula kemeriahan rakyat berhimpun menyambut sambutan diraja.

“Saya datang seawal jam 7.30 malam bersama empat anak dan ibu berusia 57 tahun.

“Seronok tengok rakyat bersatu, tak kira bangsa sama-sama datang nak tengok kenderaan berhias,” katanya kepada Sinar Harian.

Perarakan itu menjadi antara acara kemuncak sambutan pemasyhuran ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V yang bertemakan Islam Dijunjung, Rakyat Bersatu, Negeri Berkat, Raja Berdaulat.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!