Muara cetek halang kapal besar, Kelantan kaji pengerukan Terusan Semerak

Mohamed Fadzli - Foto Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Mohamed Fadzli - Foto Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan meneliti keperluan kerja pengerukan Muara Terusan Semerak secara berkala susulan isu kedalaman muara yang menjadi cabaran kepada pergerakan kapal besar di Tok Bali, Pasir Puteh.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menjalankan kajian komprehensif bagi menilai cadangan berkenaan termasuk aspek teknikal, keperluan infrastruktur, model pengurusan, implikasi kewangan dan kelestarian alam sekitar.

“Cadangan pengerukan muara Terusan Semerak secara berkala dan permohonan status Zon Perdagangan Bebas merupakan inisiatif yang perlu diteliti secara menyeluruh.

“Kerajaan Kelantan pada prinsipnya bersedia untuk bekerjasama erat dengan Persekutuan dalam meneliti, menyelaras dan menjayakan cadangan ini termasuk dari aspek penyediaan peruntukan, kepakaran teknikal dan kelulusan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Isnin.

Sidang Dun Kelantan yang dijalankan di Kota Bharu pada Isnin. Foto Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Sidang Dun Kelantan yang dijalankan di Kota Bharu pada Isnin. Foto Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan

Dalam jawapan sama, kerajaan negeri memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai peruntukan khusus untuk melaksanakan kerja pengorekan sungai bagi tujuan laluan navigasi serta pendaratan bot nelayan di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, peruntukan pengorekan sedia ada JPS tertumpu kepada muara sungai yang mengalami kemerosotan kapasiti aliran dan berpotensi meningkatkan risiko banjir di kawasan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

“JPS mengambil maklum kepentingan penyelenggaraan terusan ini demi kelancaran operasi perikanan setempat.

“Jabatan itu juga bersedia menyediakan kertas cadangan teknikal bagi kerja penyelenggaraan muara berkenaan melalui UPEN sebelum dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan dan kelulusan selanjutnya,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri juga meneliti cadangan permohonan status Zon Perdagangan Bebas (FCZ) bagi meningkatkan daya saing operasi Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di peringkat serantau.

“Penilaian ini perlu mengambil kira manfaat ekonomi, implikasi kewangan, kelestarian alam sekitar serta kesan jangka panjang terhadap komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, perancangan pembangunan Tok Bali turut berpandukan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tok Bali 2045 yang menetapkan kawasan itu sebagai Bandar Pelabuhan Maritim, Hab Industri dan Pusat Pembangunan.

Pembangunan itu tertumpu kepada tiga komponen utama iaitu Pelabuhan Bekalan Tok Bali, Tok Bali Integrated Fisheries Park dan Tok Bali Industrial Park bagi membentuk ekosistem ekonomi berasaskan industri maritim, perikanan, logistik serta perkhidmatan sokongan.

“Lebih 150 syarikat tempatan diberikan peluang untuk terlibat sebagai vendor di TBSB.

“Pembangunan TBIP seluas 81 hektar pula dijangka menyediakan peluang kepada sekurang-kurangnya 100 hingga 120 syarikat untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perindustrian apabila siap kelak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!