Aktivis GSF: 'Kami dipaksa minum air tandas, dihimpit dalam sel sempit'

KUALA LUMPUR – Pengalaman ngeri dalam tahanan tentera Israel dikongsikan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Iylia Balqis Suhaimi apabila mereka dipaksa minum air dari tandas dan disumbat beramai-ramai ke dalam sel sempit tanpa sebarang rawatan perubatan.
Menurutnya, sepanjang dua hari satu malam ditahan di penjara Israel, beliau bersama 14 lagi aktivis dari pelbagai negara diletakkan dalam satu sel kecil dengan layanan yang tidak berperikemanusiaan.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila mereka tidak dibekalkan air bersih, sebaliknya terpaksa meneguk air tandas untuk menghilangkan dahaga.
“Kami tidak diberikan air bersih dan terpaksa minum air daripada tandas. Ada peserta yang jatuh sakit dan cirit-birit kerana air itu. Doktor pula tidak dibenarkan masuk dan semua janji rawatan hanyalah palsu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar pada Isnin.
Iylia berkata, tentera Israel juga sengaja mengganggu ketenteraman mereka dengan memanggil nama peserta berulang kali pada waktu rawak tanpa sebab yang jelas.
“Setiap kali kami cuba berehat, pasti ada askar datang panggil nama atau pura-pura kira orang. Mereka sengaja mahu membuat kami tidak tenang,” ujarnya.
Jelasnya, ramai peserta termasuk warga emas dan individu yang memerlukan ubat-ubatan dibiarkan tanpa rawatan, walaupun pihak penjara dimaklumkan bahawa mereka memerlukan ubat segera.
“Doktor kononnya hendak datang jam enam tetapi tidak pernah muncul. Mereka hanya beri janji palsu. Kami tahu mereka menipu,” katanya lagi.
Iylia menjelaskan, tindakan zalim itu jelas bertujuan menekan dan menguji kekuatan mental para aktivis kemanusiaan yang ditahan.
Katanya, walaupun berada dalam keadaan sukar, ada antara tahanan termasuk bekas anggota tentera yang tetap bersemangat dan menguatkan moral rakan-rakan lain.
“Bekas tentera perempuan itu menjerit ‘left, right, left’ dalam sel. Tentera Israel yang jaga jadi keliru dan malu sendiri sebab kena sindir,” katanya sambil menyifatkan insiden itu sebagai antara momen paling lucu walaupun dalam situasi getir.
Menurut beliau, tingkah laku tentera Israel itu menunjukkan mereka sebenarnya takut dengan semangat para aktivis yang kekal tenang dan tidak tunduk kepada tekanan.
“Bila kami balas dengan tenang dan ketawa, mereka makin kelam-kabut. Kami tahu mereka sebenarnya lemah, cuma mahu tunjuk kuasa,” jelasnya.
Beliau menegaskan semua peserta GSF berpegang kepada prinsip non-violence, dan oleh itu pihak penjara tidak mempunyai alasan untuk mencederakan mereka.
“Kami tak buat apa-apa. Mereka yang culik kami dari kapal dan bawa ke penjara. Kami hanya mahu ke Gaza, bukan cari masalah,” katanya.
Iylia turut berkongsi pengalaman lucu apabila tentera Israel sering tersalah sebut nama aktivis, menyebabkan suasana menjadi kecoh dan mengundang ketawa sesama tahanan.
“Nama saya jadi lain, dari ‘Iylia’ jadi ‘Italia’. Kami ketawakan saja. Bila dia marah dan kata ‘I’m not stupid’, kami jawab ‘ya, you are’. Mereka yang jadi tertekan,” katanya berseloroh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pengalaman itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
“Kami mungkin dipenjara, tetapi jiwa kami bebas. Mereka boleh kurung badan, tapi bukan semangat kami,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pengalaman ngeri aktivis GSF dipaksa minum air tandas dalam tahanan tentera Israel
- Ditahan dalam sel sempit tanpa air bersih dan rawatan perubatan
- Tentera Israel ganggu ketenangan dengan memanggil nama secara rawak
- Aktivis berusia dan memerlukan ubat dibiarkan tanpa rawatan
- Semangat dan ketenangan para aktivis mengelirukan tentera Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

