Suara solidariti semakin bergema, dunia di belakang Global Sumud Flotilla

PENAHANAN lebih 400 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 23 rakyat Malaysia oleh tentera Israel jelas menimbulkan gelombang solidariti yang lebih lantang di seluruh dunia.
Ironinya, meskipun kapal dirampas dan aktivis ditahan di perairan antarabangsa, perjuangan flotilla itu bukan sahaja tidak terpadam, malah mencetuskan gelombang suara rakyat yang semakin bergema.
Himpunan aman yang berlaku di beberapa kawasan termasuk di Kuala Lumpur menjadi bukti jelas bahawa kesedaran rakyat terhadap penderitaan Gaza masih belum padam.
Himpunan besar-besaran yang digerakkan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menjadi simbol bahawa masyarakat sivil mempunyai kuasa moral untuk menekan pemerintah, baik di Malaysia mahupun di peringkat global.
Sejarah membuktikan bahawa suara rakyat sering menjadi pemangkin perubahan.
Sebagai contoh, demonstrasi anti-apartheid di Afrika Selatan, bantahan perang Vietnam di Amerika Syarikat, malah gelombang Reformasi di rantau Asia Tenggara.
Semua itu lahir daripada denyut nadi rakyat. Dalam konteks Gaza, tekanan tersebut berpotensi menggerakkan kerajaan untuk bertindak lebih tegas di peringkat diplomatik.
Dijangkakan Malaysia dan negara-negara lain mungkin meningkatkan desakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menggesa sekatan ke atas Israel.
Selain itu, liputan media global terhadap himpunan-himpunan solidariti memberi tekanan moral kepada negara besar, khususnya AS, yang menjadi sekutu rapat Israel.
Tidak mustahil himpunan solidariti akan terus digerakkan di Malaysia dan serata dunia.
Sokongan dijangka lebih meluas, apatah lagi dengan perkembangan di Gaza yang semakin kritikal.
Tekanan awam ini boleh membawa kepada gerakan diplomasi bersepadu, pengukuhan boikot global dan desakan pembebasan sukarelawan GSF.
Namun, dalam mengangkat solidariti, penting diingatkan bahawa himpunan aman perlu terus dikawal dengan baik.
Emosi marah terhadap kekejaman Zionis tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk keganasan atau kekecohan.
Tindakan yang tidak terkawal hanya akan merosakkan imej perjuangan rakyat Palestin yang sedang diperjuangkan.
Rakyat Malaysia perlu menjadikan solidariti ini sebagai suara berprinsip, tersusun dan berstrategi, bukan sekadar luahan emosi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

