Penahanan sukarelawan GSF pamer wajah sebenar Israel

Global Sumud Flotilla mengingatkan kita bahawa perjuangan kemanusiaan tidak mengenal pangkat, kerjaya atau sempadan. - Gambar hiasan
Global Sumud Flotilla mengingatkan kita bahawa perjuangan kemanusiaan tidak mengenal pangkat, kerjaya atau sempadan. - Gambar hiasan
A
A
A

GELOMBANG doa rakyat Malaysia kini mengalir deras buat wira-wira misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). Mereka tidak belayar mencari nama, jauh sekali mengejar glamor, sebaliknya membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan harapan buat rakyat Gaza yang sekian lama dizalimi oleh rejim Zionis.

Namun, kapal-kapal yang sepatutnya menjadi jambatan kasih sesama insan disekat dengan zalim oleh Israel. Ya, kapal dihalang, sukarelawan ditahan tetapi hakikatnya misi ini sudah pun dianggap berjaya. Kenapa?

Kerana seluruh dunia sudah nampak jelas wajah sebenar Israel. Mereka sanggup menghalang makanan untuk yang lapar, ubat untuk yang sakit.

Inilah rejim yang hanya tahu menindas, mengugut dan menutup pintu bantuan kerana mereka gentar pada kebenaran dibawa flotilla tanpa senjata.

Merak Jalanan bangga dengan keberanian anak-anak Malaysia yang terlibat dan juga seluruh sukarelawan yang lain. Semuanya luar biasa.

Mereka mengingatkan kita bahawa perjuangan kemanusiaan tidak mengenal pangkat, kerjaya atau sempadan.

Keberanian itu tidak mampu dipadamkan walau dengan ugutan senjata.Mereka tidak takut ancaman kerana hati mereka penuh dengan tekad bahawa Palestin tidak pernah keseorangan.

Namun, keresahan dan bimbang dengan keselamatan kesemua sukarelawan tetap menyelinap. Keluarga di tanah air menunggu penuh cemas. Apakah salah mereka membawa bantuan? Apakah jenayah mereka selain menghulur tangan buat yang lapar dan sengsara?

Merak Jalanan berdoa agar mereka dibebaskan segera dan usaha diplomasi kerajaan membuahkan hasil.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, walau kapal tidak sampai ke Gaza, mesejnya sudah sampai lebih jauh. Itulah wajah sebenar Israel yang zalim. Merak Jalanan percaya doa rakyat Malaysia tidak akan pernah padam.

Semoga sukarelawan kita pulang dengan selamat dan semangat kemanusiaan yang mereka bawa terus menyala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!