GSF: Kapal flotila terakhir kini dilapor berada 120 batu nautika dari pantai Gaza

SHAH ALAM - Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Marinette dilapor menjadi flotila terakhir yang meneruskan pelayaran apabila kini berada kira-kira 120 batu nautika dari pantai Gaza.
Perkembangan itu dikongsikan salah seorang sukarelawan yang menaiki kapal berkenaan melalui siaran video dan kemudiannya di muat naik di media sosial TRT World.
Menerusi video berkenaan, lelaki yang dikenali sebagai Cameron turut memaklumkan kapal yang dinaikinya berdepan dengan masalah enjin tetapi masih boleh meneruskan perjalanan.
"Saya percaya kapal kami ialah yang terakhir meneruskan pelayaran. Kami tidak jangka boleh sampai ke sini tetapi kami kini berada di sini (kira-kira 120 batu nautika dari pantai Gaza).
"Saya percaya semua bot lain telah dipintas atau kami anggap dipintas dan kami akan meneruskan pelayaran ke sana (Gaza)," katanya.
GSF yang semakin menghampiri perairan Gaza dengan membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin bertukar menjadi krisis antarabangsa.
Ini selepas sekurang-kurangnya 30 daripada 45 kapal dalam konvoi itu, termasuk yang membawa rakyat Malaysia, dipintas dan ditahan oleh Tentera Laut Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean pada Rabu malam waktu Gaza.
Misi GSF antaranya melibatkan 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dijadualkan tiba di pesisiran pantai wilayah berkonflik itu sekitar 6.32 petang Khamis waktu Malaysia, bagaimanapun perjalanannya terganggu selepas dipintas oleh Tentera Laut Israel.
Setakat 8 malam Khamis, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza.
Ringkasan AI
- Kapal Marinette dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla berada kira-kira 120 batu nautika dari pantai Gaza
- Sukarelawan di atas kapal Marinette berkongsi perkembangan misi melalui siaran video
- Kapal Marinette mengalami masalah enjin tetapi masih boleh meneruskan perjalanan
- Sekurang-kurangnya 30 daripada 45 kapal dalam konvoi dipintas dan ditahan oleh Tentera Laut Israel
- Kesemua 23 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

