GSF: Israel perlu bebaskan aktivis Malaysia dalam tempoh tiga hari - Peguam

Dir Kheizwan (dua dari kanan) antara lima peguam dari CENTHRA yang kini berada di Amman, Jordan. Foto FB Dir Kheizwan Kamaruddin
Dir Kheizwan (dua dari kanan) antara lima peguam dari CENTHRA yang kini berada di Amman, Jordan. Foto FB Dir Kheizwan Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Israel perlu membebaskan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini ditahan di Kem Ktzi’ot dalam tempoh tiga hari, setelah mereka menandatangani borang Request For Immediate Departure atau 'Permohonan untuk Pelepasan Segera'.

Peguam Dir Kheizwan Kamaruddin berkata, kesemua rakyat Malaysia yang ditahan itu telah dinasihatkan untuk menandatangani borang berkenaan ketika taklimat perundangan yang diberikan oleh peguam-peguam dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) di Tunisia dan Itali.

"Sekiranya sudah menandatangani borang Request For Immediate Departure, mereka akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam, iaitu tiga hari.

"Perkara itu dilakukan agar tidak membebankan tahanan dan untuk tidak memanjangkan tempoh masa mereka berada di dalam tahanan pihak rejim Israel," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Dir Kheizwan, antara lima peguam dari CENTHRA yang kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel itu mendapat perlindungan undang-undang secara telus dan adil.

Peguam lain yang terlibat ialah Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.

Dir Kheizwan berkata, selepas borang berkenaan ditandatangani, pihak Israel perlu menghantar pulang rakyat Malaysia terlibat menerusi sempadan yang akan ditentukan.

"Perancangan awal adalah ke Jordan atau pun ke Mesir yang paling dekat," katanya.

Beliau berkata, peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah dibenarkan berjumpa rakyat Malaysia yang ditahan dan dimaklumkan mereka semua berada dalam keadaan baik, selamat dan masih bersemangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Israel perlu membebaskan aktivis Global Sumud Flotilla dari Malaysia yang ditahan dalam tempoh tiga hari setelah menandatangani borang Permohonan untuk Pelepasan Segera
  • Aktivis ditahan telah dinasihatkan menandatangani borang tersebut oleh peguam-peguam dari CENTHRA di Tunisia dan Itali
  • Peguam Dir Kheizwan Kamaruddin dan empat peguam lain dari CENTHRA berada di Amman, Jordan untuk memastikan aktivis Malaysia mendapat perlindungan undang-undang
  • Selepas menandatangani borang, Israel perlu menghantar pulang aktivis Malaysia menerusi sempadan yang ditentukan, dengan Jordan atau Mesir sebagai pilihan utama
  • Rakyat Malaysia yang ditahan termasuk Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah dan lain-lain akses lebih 500 aktivis dari 45 negara dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!