Misi FFCxTMTG ke Gaza tidak diselaraskan di bawah GSF - SNCC

Dr Sani Araby
Dr Sani Araby
A
A
A

SEPANG - Misi kemanusiaan gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) tidak diselaraskan di bawah Global Sumud Flotilla (GSF).

Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, pihaknya sedia maklum mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam misi pelayaran ke Gaza itu.

"Jadi untuk kumpulan yang kedua itu, saya kira mereka juga ada objektif mereka yang tersendiri.

"Kita ambil maklum dan saya kira mungkin sedikit masa lagi mereka juga akan buat sidang media mereka sendiri," katanya dalam sidang akhbar di MAPIM Central Warehouse di sini pada Jumaat.

Sani Araby berkata, usaha membebaskan Gaza perlu dijadikan satu kerangka bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan.

"Saya boleh katakan bahawa sebarang usaha untuk membebaskan Gaza dengan apa juga keadaan yang tersusun yang bersama dengan semua peringkat masyarakat daripada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua sekali itu patut kita jadikan sebagai satu kerangka yang baik, termasuklah media.

"Untuk pihak GSF, kini kita dalam fasa kedua (rundingan). Mohon doa insya-ALLAH, fasa ini akan berlaku dengan cepat.

"Kita harapkan dan kita akan dapat melihat mereka dibebaskan," katanya.

Media melaporkan FFC x TMTG yang kini berada di perairan antarabangsa berdekatan Greece bertekad meneruskan pelayaran menuju ke Gaza, meskipun berisiko disabotaj tentera Israel seperti GSF.

Lapan sukarelawan rakyat Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan FFC x TMTG dengan menaiki kapal Conscience milik FFC diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.

Peserta terdiri daripada Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Turut sama wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; pensyarah, Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

 

 

Ringkasan AI

  • Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza tidak diselaraskan di bawah Global Sumud Flotilla
  • Penglibatan rakyat Malaysia dalam misi ke Gaza itu diketahui
  • Usaha membebaskan Gaza harus jadi kerangka bersama antara kerajaan, NGO, dan media
  • Lapan sukarelawan Malaysia menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menaiki kapal Conscience
  • Peserta misi termasuk profesor, wartawan Astro Awani, pensyarah, dan ahli lembaga MyCARE

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!