Israel dakwa tiada bantuan dalam 40 kapal GSF

BAITULMAQDIS – Polis Israel mendakwa tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam mana-mana daripada 40 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Menurut laporan Jerusalem Post, siasatan dan penggeledahan kapal berkenaan hanya menemui aktivis serta penumpang, namun tiada sebarang barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan atau keperluan asas.
Israel sebelum ini menegaskan flotilla berkenaan cuba memprovokasi dengan alasan bantuan kemanusiaan, sekali gus melanggar sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza sejak bertahun-tahun.
Pihak berkuasa Israel turut menahan ratusan aktivis antarabangsa termasuk tokoh terkenal seperti aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, serta Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan.
GSF yang disertai lebih 400 aktivis dari pelbagai negara dilaporkan berlepas dari Barcelona bulan lalu dengan matlamat mencabar sekatan Israel serta menghantar bekalan ke Gaza.
Namun, pasukan tentera laut Israel memintas kesemua kapal terbabit di perairan antarabangsa sebelum menunda mereka ke pelabuhan di Israel.
Jurucakap Israel mendakwa pihaknya hanya melaksanakan undang-undang bagi menghalang kapal memasuki kawasan peperangan aktif di Gaza.
Laporan itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan penganjur flotilla yang mendakwa mereka membawa muatan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang berdepan krisis kebuluran.
Misi flotilla kali ini dianggap sebagai yang terbesar selepas lebih dua tahun konflik di Gaza yang menyaksikan sekatan Israel menghalang bantuan masuk ke wilayah tersebut.
Pihak antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, Colombia, Turkiye dan beberapa pertubuhan hak asasi mengecam tindakan Israel memintas flotilla kemanusiaan itu. - Agensi
Ringkasan AI
- Polis Israel mendakwa tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam kapal Global Sumud Flotilla yang dipintas menuju Gaza
- Aktivis antarabangsa termasuk Greta Thunberg dan tokoh terkenal lain ditahan oleh Israel
- Lebih 400 aktivis dari pelbagai negara mencabar sekatan Israel dengan menghantar bekalan ke Gaza
- Israel memintas semasa kapal berada di perairan antarabangsa dan menunda mereka ke pelabuhan Israel
- Penganjur flotilla mendakwa membawa muatan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
