SNCC sahkan delegasi Malaysia selamat, rundingan pembebasan diteruskan

SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan semua aktivis Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Peguam yang dilantik menerusi organisasi ‘Adalah’ mengesahkan telah bertemu delegasi terbabit dan menemui mereka dalam keadaan baik.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, jumlah keseluruhan tahanan flotila itu adalah seramai 495 orang melibatkan penyertaan daripada 45 negara, dan proses pengesahan sedang dijalankan.
“Hingga kini, tiada sebarang tuntutan rasmi dikemukakan pihak Israel terhadap Malaysia. Namun, bagi negara lain, kita masih belum memperoleh maklumat lanjut,” katanya pada sidang media di MAPIM Central Warehouse di sini pada Jumaat
Beliau menjelaskan, usaha diplomasi dan rundingan pembebasan kini sedang dijalankan pada tahap tertinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, pihak berkuasa Qatar, Setiausaha Negara Amerika Syarikat serta beberapa negara sahabat lain.
Hasil perbincangan antara Perdana Menteri dan Presiden Turkiye pada jam 8.10 pagi tadi menyaksikan kerajaan Turkiye bersetuju untuk melaksanakan rundingan bagi membawa keluar tahanan.
“Insya-ALLAH, proses rundingan ini dijangka membawa delegasi Malaysia dan Turkiye yang ditahan ke Istanbul sebelum mereka seterusnya dibawa pulang ke tanah air,” katanya.
Dalam masa sama, keluarga delegasi Malaysia telah ditempatkan di sebuah hotel khas dan diberikan sokongan moral, pengisian rohani serta bantuan kebajikan termasuk untuk anak-anak.
“Alhamdulillah, kesemua keluarga delegasi berada dalam keadaan baik dan sihat dengan sokongan penuh yang disediakan,” jelasnya.
SNCC turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus berdoa, mengadakan solat hajat dan bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik, demi solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia bersama Gaza,” tegas Dr Sani.
Beliau turut menekankan bahawa peranan Perdana Menteri sebagai pemain utama dalam usaha diplomasi ini amat signifikan dan harus disokong sepenuhnya.
“SNCC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas komitmen besar beliau, kerana misi ini bukan sekadar pelayaran tetapi usaha nasional yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, objektif utama misi flotilla ini bukan hanya untuk menghantar bantuan, sebaliknya mendesak masyarakat antarabangsa menghentikan perang, menamatkan kebuluran di Gaza dan membuka koridor kemanusiaan Rafah dengan segera.
Ringkasan AI
- Aktivis Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel dalam misi Global Sumud Flotilla berada dalam keadaan selamat dan sihat
- Peguam dari organisasi 'Adalah' telah bertemu dan menyatakan delegasi dalam keadaan baik
- Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim menyatakan usaha diplomasi untuk pembebasan sedang dijalankan oleh Perdana Menteri Malaysia dengan beberapa negara
- Rundingan diplomasi menyaksikan kerajaan Turki bersetuju untuk membantu membawa keluar tahanan
- Keluarga delegasi Malaysia ditempatkan di hotel khas dengan sokongan moral dan bantuan kebajikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

