Tangguh bentang RUU Pembaharuan Semula Bandar

Johari ketika berucap pada Konvensyen PSB di WTCKL pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Johari ketika berucap pada Konvensyen PSB di WTCKL pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menyesyorkan tiga resolusi utama termasuk 14 cadangan khusus bagi memastikan pembangunan semula bandar tidak menjejaskan hak pemilik hartanah dan kepentingan rakyat.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk Rang Undang-Undang (RUU) PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, resolusi pertama konvensyen menuntut kerajaan menangguhkan pembentangan RUU sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan disyor mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan akta, termasuk mekanisme pampasan adil, penetapan nilai ambang persetujuan, memastikan kredibiliti pemaju dan langkah menyelamatkan projek terbengkalai serta bangunan tidak selamat.

"Antara lain, pengiktirafan hak penyewa dan pemilik yang masih berhutang, larangan pengusiran sebelum persetujuan dicapai, mekanisme keputusan bersama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta menjadikan unsur paksaan pemaju terhadap pemilik atau penduduk sebagai kesalahan jenayah.

"Cadangan lain termasuklah kawalan perancangan bandar bagi elak eksploitasi, pengambilalihan bangunan terbiar oleh kerajaan, mendefinisikan jenis kediaman secara jelas serta menubuhkan jawatankuasa khas pembangunan semula di peringkat Persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Konvensyen PSB di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

Terdahulu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menyerahkan resolusi konvensyen itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Johari berkata, resolusi kedua pula menggesa kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh sementara menunggu RUU digubal semula.

"Kerajaan diminta tidak terburu-buru, sebaliknya melaksanakan kajian holistik serta meminda beberapa akta utama secara bersepadu untuk memastikan matlamat pembaharuan bandar tercapai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyenaraikan 10 akta sedia ada yang perlu dipinda termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Turut disenaraikan, Akta Hak Milik Strata 1985, Akta Pengurusan Strata 2013, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu, Johari berkata, resolusi ketiga mengusulkan penubuhan sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengawal selia sebarang usah perancangan pembangunan semula bandar, penjanaan sumber bandar dan penyenggaraan semula bandar supaya lebih teratur serta mampu menyelesaikan pertikaian antara pemilik, penduduk dan pemaju.

Menurutnya, konvensyen menegaskan agar kerajaan dapat merungkai segala kegusaran, ketakutan dan ketidakyakinan rakyat terhadap kelompongan dalam RUU PSB.

Justeru, beliau berharap kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira 14 cadangan diutarakan.

Ringkasan AI

  • Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar menuntut penangguhan RUU dan mempertimbangkan 14 cadangan untuk kepentingan rakyat
  • Mekanisme pampasan adil dan kredibiliti pemaju antara cadangan utama
  • Penubuhan jawatankuasa khas dan kawalan perancangan bandar untuk mengelak eksploitasi
  • Gesaan untuk kajian holistik dan pemindaan beberapa akta sedia ada sebelum pembentangan RUU
  • Usul penubuhan agensi kerajaan untuk mengawal selia pembangunan semula bandar dan menyelesaikan pertikaian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!