Pembangunan semula Lapangan Terbang Subang di fasa akhir rundingan - Amirudin

SHAH ALAM - Lapangan Terbang Subang bakal kembali memainkan peranan strategik sebagai hab penerbangan serantau apabila projek pembangunan semula kini memasuki fasa akhir rundingan antara kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan fasa kedua projek itu melibatkan pembangunan zon kargo, laluan teksi dan tanah milik kerajaan negeri yang akan dimanfaatkan secara optimum dalam menjayakan industri aeroangkasa negara.
Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu membabitkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Persetujuan bersama telah dicapai dan saya yakin projek ini dapat dilancarkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10, di sini pada Selasa.
Menurut Amirudin, pembangunan semula Lapangan Terbang Subang bukan sahaja akan memperkukuh keupayaan logistik dan kargo, malah menyokong aspirasi Selangor untuk menjadi hab aeroangkasa utama di Asia Tenggara.
“Kita melihat potensi besar Subang sebagai sebahagian daripada ekosistem aeroangkasa yang saling melengkapi dengan pembangunan di Sepang.
“Ini termasuk penyelarasan dalam infrastruktur dan operasi antara entiti kerajaan negeri dan Persekutuan,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka menjana pendapatan berjumlah RM216.6 bilion atau RM8.7 bilion setahun kepada ekonomi negara dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Pelan pembangunan yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 itu dimajukan oleh anak syarikat MAHB, KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

