Pembangunan Koridor Bandar Sempadan pacu ekonomi Kedah

Muhammad Sanusi ketika berucap dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.
Muhammad Sanusi ketika berucap dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah berada pada landasan kukuh untuk melonjak sebagai sebuah negeri berdaya saing tinggi menerusi pelbagai inisiatif pembangunan strategik dan pelaburan berskala besar yang sedang giat dilaksanakan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan pembangunan Koridor Bandar Sempadan diyakini mampu meningkatkan nilai dagangan dua hala Malaysia-Thailand daripada RM117 bilion pada 2023 kepada RM141 bilion menjelang tahun 2027.

Menurutnya, setakat ini, pembangunan bandar sempadan menunjukkan perkembangan positif selain dilengkapi prasarana strategik serta memanfaatkan Kedah melalui aktiviti ekonomi rentas sempadan.

“Pembukaan Hab Logistik (ICD) di lapan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam dijangka menarik masuk aliran trafik kontena tambahan sebanyak 240,000 TEU dari selatan Thailand.

“Ia dijangka menyumbang sehingga RM843 juta setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya ketika berucap dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-83 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, projek tersebut turut dilengkapi dengan pembinaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Sadao, yang dijangka siap pada September depan.

Beliau berkata, negeri ini turut menerima keyakinan tinggi daripada pelabur dalam dan luar negara, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.2 bilion direkodkan bagi suku pertama tahun ini, yang bakal menjana lebih 1,400 peluang pekerjaan.

“Sebanyak RM3.9 bilion merupakan pelaburan sektor pembuatan, menjadikan Kedah negeri ketiga tertinggi dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi memaklumkan, keupayaan ini dipacu oleh pembangunan Fasa 4A dan 5 Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Koridor Industri Kulim (KIC), serta kawasan perindustrian baharu seperti Bandar Getah Kedah (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP).

“Sektor pembuatan bernilai tinggi dijangka terus berkembang kukuh meskipun dunia dihimpit ketidaktentuan politik dan ekonomi yang agak meruncing.

“Kejayaan ini adalah manifestasi kepada kestabilan, ketelusan dan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan seimbang dan mampan,” katanya.

Beliau yakin Kedah kini berada di landasan tepat untuk merealisasikan gagasan The Greater Kedah dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi dan sumber yang ada.

“Melalui penubuhan Sekretariat The Greater Kedah dengan kerjasama strategik Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN), segala perancangan dan inisiatif strategik dapat dipantau dan diselaraskan secara lebih sistematik, berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi merealisasikan impian menjadikan Kedah negeri sejahtera dan berdaya huni dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, lonjakan pembangunan ini membolehkan Kedah muncul sebagai sebuah negeri berdaya huni, selain ‘tempat orang miskin berteduh dan negeri untuk orang kaya berbakti’.

“Pembangunan ini telah mula dirasai limpahannya, dengan penyediaan peluang pekerjaan dan menjanjikan peningkatan pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri.

“Keadaan ini menyumbang kepada kelestarian dan kestabilan fiskal negeri yang mencatatkan kejayaan membanggakan pada tahun lepas dengan merekodkan kutipan hasil melebihi anggaran ditetapkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Malaysian Forest Fund (MFF) bagi meneroka potensi pasaran kredit karbon melalui Kajian Paras Rujukan Stok Karbon Hutan di Kedah, yang berpotensi menjadi sumber pendapatan alternatif.

“Komitmen untuk memastikan khazanah dan kelestarian alam terus terpelihara ini disokong oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui inisiatif mengurangkan pelepasan karbon.

“Tiga PBT, iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech telah menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 di peringkat nasional,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, tanah seluas 20 hektar di Pendang dijadikan tapak kajian bagi penghasilan varieti padi baharu berkualiti tinggi, sebagai sokongan kepada usaha penanaman padi lima musim dalam dua tahun.

“Sektor pelancongan turut melonjak, apabila Kedah merekodkan kehadiran 1.5 juta pelancong dalam suku pertama tahun ini menerusi pelbagai program sempena Tahun Melawat Kedah 2025, termasuk Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang menarik lebih 450,000 pengunjung berbanding 295,000 pada penganjuran 2023.

“Dengan lebih 170 program dan 45 acara utama yang diserikan dengan elemen sukan, gastronomi, teknologi dan rohani, saya yakin kita mampu capai sasaran 7 juta pelancong tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri terus komited memperkasakan institusi pengajian Islam seperti Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR), Maktab Mahmud, sekolah agama serta institusi pondok berdaftar.

“Ini termasuk pembangunan kolej kediaman pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) yang memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dan dijangka bermula penghujung tahun ini melalui peruntukan negeri,” ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, projek perintis Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik, Padang Terap pula dijangka siap penghujung tahun ini dan bakal diperluaskan ke seluruh daerah, bagi membantu golongan miskin memiliki tanah kediaman sendiri.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!