Padah beri maklumat palsu, tukang kayu dipenjara lima hari

Cheng Tiam diiringi pegawai JPN ketika dibawa ke mahkamah pada Jumaat.
Cheng Tiam diiringi pegawai JPN ketika dibawa ke mahkamah pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang tukang kayu dipenjara lima hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan kad pengenalan seorang kanak-kanak pada tahun lalu.

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi turut memerintahkan Goh Cheng Tiam, 59, membayar denda RM2,000 atau dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Cheng Tiam didakwa memberikan maklumat tidak teratur dan palsu dalam butiran material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak di kaunter Cawangan UTC Negeri Pulau Pinang antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 29 Februari 2024.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohd Hairul Faiz Hairun manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah meringankan hukuman memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan termasuk dua orang anak yang masih bersekolah.

Namun, Mohd Hairul Faiz memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan memberi maklumat palsu terhadap pendaftaran kad pengenalan untuk kepentingan tertuduh.

Selain itu, beliau berkata, hukuman setimpal juga dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat berikutan kes seumpama itu semakin meningkat di laporan pada masa ini.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh dikesan ketika permohonan kad pengenalan 12 tahun dibuat selepas mendapati wajah kanak-kanak itu tidak sama seperti wajahnya dan isteri.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya dirujuk kepada bahagian siasatan JPN sebelum semakan dibuat di hospital dan mendapati tertuduh bukan ayah kandung kepada pemohon kad pengenalan terbabit.

 

Ringkasan AI

  • Seorang tukang kayu dipenjara lima hari dan didenda RM 2,000 kerana memberi maklumat palsu untuk kad pengenalan kanak-kanak
  • Goh Cheng Tiam, 59, gagal bayar denda akan dipenjara tujuh bulan
  • Maklumat palsu diberikan semasa permohonan kad pengenalan di Pulau Pinang
  • Dituduh mengikut peraturan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000
  • Kesalahan dikesan apabila wajah pada permohonan tidak sama dengan wajah ibu bapa kandung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!