M40 bukan lagi zon selesa, kewangan makin 'rapuh'

Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025 diumumkan oleh RinggitPlus memberi gambaran jelas tentang realiti yang membimbangkan.
Kedudukan kewangan golongan berpendapatan sederhana (M40) dilihat semakin ‘rapuh’. Jika sebelum ini mereka sering dianggap berada pada zon selesa, hakikatnya statistik menunjukkan sebaliknya.
Hanya 23 peratus responden M40 dilaporkan mampu menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, berbanding 29 peratus pada 2024.
Lebih membimbangkan, 39 peratus hanya mampu menyimpan kurang daripada RM500 sebulan, suatu angka yang mencerminkan betapa sempitnya ruang bernafas kewangan mereka.
Lebih parah, kemampuan untuk bertahan tanpa pendapatan turut merosot. Tahun lalu, 32 peratus menyatakan mereka boleh bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan. Kini angka itu susut kepada 27 peratus.
Penurunan tersebut bukan sekadar angka tetapi tanda amaran bahawa kelompok M40 mudah terdedah kepada sebarang kejutan, sama ada kehilangan pekerjaan, kenaikan kos sara hidup, mahupun kecemasan kesihatan.
Keadaan tersebut berpunca daripada kedudukan M40 yang berada di persimpangan. Mereka tidak layak menerima bantuan bersasar seperti B40 tetapi pada masa sama menanggung kos komitmen bulanan yang tinggi termasuk perumahan, pendidikan anak, kesihatan dan pengangkutan.
Dalam erti kata lain, M40 sering terlepas pandang walaupun menjadi tulang belakang ekonomi negara, penyumbang utama kepada cukai, pasaran pekerjaan dan kuasa beli domestik.
Hakikatnya, kedudukan M40 tidak boleh dipandang ringan. Jika kumpulan berkenaan terus tertekan, ia turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Justeru, langkah perlu diambil segera sama ada dalam bentuk insentif cukai yang lebih fleksibel, skim simpanan mesra M40 atau program literasi kewangan yang benar-benar praktikal.
Pada masa sama, M40 juga harus berlapang dada untuk menilai semula tabiat berbelanja. Disiplin kewangan dan keutamaan kepada simpanan perlu dijadikan budaya, bukan lagi pilihan.
Laporan RMFLS 2025 seharusnya menjadi petunjuk bahawa di sebalik angka pertumbuhan ekonomi, ada kelompok sederhana yang semakin goyah. Ia bukan sekadar data semata-mata tetapi amaran agar golongan M40 tidak dipinggirkan, sebaliknya teruslah diperkasakan. Pada masa sama, seluruh rakyat juga perlu dibekalkan ilmu kewangan untuk menempuh masa depan yang semakin mencabar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
