MAIPs seru masyarakat dunia berusaha pastikan bantuan kemanusiaan GSF tiba di Gaza

Tuanku Syed Faizuddin. Foto Bernama
Tuanku Syed Faizuddin. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyeru masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan melalui Global Sumud Flotilla (GSF) sampai kepada rakyat Palestin.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang membawa bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.

"Lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya. Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” titah baginda dalam kenyataan rasmi dikeluarkan MAIPs pada Khamis

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, MAIPs menyeru umat Islam khususnya rakyat Perlis supaya terus berdoa dan memperbanyakkan amal soleh serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

"Di negeri Perlis tercinta, seluruh masjid telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin,” titah baginda.

Bernama melaporkan setakat 3.39 petang Khamis, sebanyak 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF itu ditahan tentera Israel.

Misi kemanusiaan GSF itu disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia berlayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan bantuan asas rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • MAIPs menyeru masyarakat antarabangsa membantu rakyat Palestin melalui Global Sumud Flotilla
  • Raja Muda Perlis mengkritik tindakan menahan sukarelawan yang bawa bantuan kemanusiaan
  • Menyatakan tindakan tersebut menyalahi nilai kemanusiaan sejagat dan hak asasi manusia
  • Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru umat Islam dan rakyat Perlis berdoa dan menyokong perjuangan Palestin
  • 15 sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel, misi GSF diikuti lebih 500 aktivis dari 44 negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!