Lokasi unik Sungai Kedah tarikan bot laju antarabangsa

Keunikan Kejohanan Kedah Powerboat World Championship 2026 terletak pada lokasi perlumbaan yang diadakan di kawasan sungai dalam bandar Alor Setar. Gambar kecil: Mohd Salleh (kiri), Ezzat
Keunikan Kejohanan Kedah Powerboat World Championship 2026 terletak pada lokasi perlumbaan yang diadakan di kawasan sungai dalam bandar Alor Setar. Gambar kecil: Mohd Salleh (kiri), Ezzat
A
A
A

ALOR SETAR - Sungai Kedah yang melalui tengah bandar raya Alor Setar sebagai lokasi perlumbaan bot laju antarabangsa menjadi tarikan baharu kepada negeri ini untuk memperkukuh sektor pelancongan menerusi penganjuran acara sukan air bertaraf dunia.

Kejohanan Kedah Powerboat World Championship 2026 yang julung kali dianjurkan di negeri ini berjaya menarik penyertaan 17 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, penyertaan itu menunjukkan keyakinan komuniti sukan pemotoran air terhadap kemampuan negeri ini menganjurkan acara antarabangsa.

Menurutnya, jumlah penyertaan turut bertambah apabila dua pasukan dari India dan Jepun menyertai kejohanan berkenaan pada saat-saat akhir menjadikan jumlah penyertaan melebihi sasaran awal.

“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna kepada sektor pelancongan negeri. Lebih membanggakan ini merupakan penganjuran bot laju di sungai yang pertama di negara, jadi rakyat Kedah perlu merasa bangga dengan pencapaian ini.

“Untuk mencapai kejayaan lebih besar, kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kita perlu bekerjasama dengan semua pihak supaya dapat mencipta sejarah dan kejayaan lebih besar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kedah Powerboat World Championship 2026 di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ampang Jajar di sini pada Jumaat.

Kejohanan yang bermula pada Khamis dan berakhir pada Sabtu dijangka menarik kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung ke Taman Rekreasi Ampang Jajar.

Mohd Salleh berkata, maklum balas positif diterima daripada peserta antarabangsa yang rata-ratanya pertama kali berkunjung ke Kedah.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan Kedah Powerboat World Championship 2026 yang julung kali dianjurkan di Kedah berjaya menarik penyertaan 17 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia.
Kejohanan Kedah Powerboat World Championship 2026 yang julung kali dianjurkan di Kedah berjaya menarik penyertaan 17 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia.

Katanya, peserta berkenaan berharap kejohanan itu diteruskan sebagai acara tahunan dan bersedia membantu mempromosikan Kedah melalui rangkaian kenalan mereka di peringkat antarabangsa.

“Mereka ini mempunyai hubungan di seluruh dunia dan akan mewar-warkan kepada rakan-rakan mereka untuk datang lagi ke Kedah bagi menyertai penganjuran seterusnya jika kita laksanakan pada masa hadapan. Ini adalah maklum balas yang sangat baik bagi kita,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Bot Laju Malaysia, Ezzat Mohd Tahir berkata, keunikan kejohanan itu terletak pada lokasi perlumbaan yang diadakan di kawasan sungai dalam bandar Alor Setar.

Menurutnya, kebanyakan pelumba antarabangsa sebelum ini lebih biasa menyertai perlumbaan di lokasi seperti laut, muara dan tasik sekali gus menjadikan perlumbaan di sungai sebagai pengalaman berbeza.

“Keadaan sungai yang lebih sempit memerlukan pelumba membuat penyesuaian terhadap komponen enjin dan kipas bagi memastikan perlumbaan berlangsung mengikut keadaan lokasi.

“Kelajuan bot di kawasan sungai itu boleh mencapai maksimum 160 kilometer sejam namun pelumba tidak akan melebihi had berkenaan dan setakat perlumbaan berlangsung tiada kemalangan besar dilaporkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!