ZRA, Ardell dan Ustaz Mad Kechik senarai terbaharu sah ditahan tentera Israel

SHAH ALAM - Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) antara sukarelawan terbaharu ditahan secara tidak sah Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Maklumat terkini itu dikongsi akaun Facebook Sumud Nusantara Official sebentar tadi.
Selain Zainal Rashid atau lebih mesra dipanggil ZRA, turut ditahan ialah Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik dari MyCare Terengganu yang menaiki kapal Fair Lady.
Turut memasuki senarai terbaharu yang ditahan ialah pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana.
Melalui video itu, Ardell meminta agar kerajaan bertindak menggerakkan usaha menyelamat secepat mungkin.
"Jika anda menonton video ini, ia bermaksud saya telah diculik dan ini bertentangan dengan kehendak saya oleh tentera Israel. Misi kemanusiaan kami adalah aman, tiada keganasan dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menerusi sidang akhbar sebentar tadi turut memaklumkan kesemua 23 delegasi rakyat Malaysia dalam misi berkenaan sudah ditahan oleh rejim Israel dan dipercayai sebahagiannya telah dibawa ke darat.
Sehubungan itu katanya, SNCC akan mengadakan pertemuan segera dengan keluarga delegasi Malaysia terlibat bagi menyampaikan perkembangan terkini serta memberi jaminan sokongan penuh dalam memastikan mereka dimaklumkan secara berterusan.
Ringkasan AI
- Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan Zainal Rashid Ahmad ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel
- Muhammad Abdullah dan Ardell Aryana turut ditahan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla
- Ardell Aryana merakamkan video meminta kerajaan Malaysia menggerakkan usaha penyelamatan
- Kesemua 23 delegasi rakyat Malaysia dalam misi tersebut telah ditahan oleh rejim Israel
- Pusat Kawalan Sumud Nusantara akan mengadakan pertemuan dengan keluarga delegasi terlibat untuk memberi maklumat terkini dan jaminan sokongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

