Kapal tentera laut Israel pintas kapal flotilla di zon merah

GAZA – Kapal tentera laut Israel telah memintas flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza yang membawa makanan, susu formula serta bekalan perubatan untuk penduduk Palestin.
Tindakan itu dipercayai dibuat susulan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) itu sebelum ini sudah memasuki zon perairan merah dan berdepan beberapa 'serangan' provokatif di tengah laut termasuk ancaman dron.
Laporan media antarabangsa TRT World memdedahkan konvoi berkenaan berjaya melepasi zon merah sebelum dipintas tentera laut Israel berdasarkan rakaman CCTV secara langsung yang dipasang di setiap kapal flotilla.
Perkara itu kemudiannya disahkan Kementerian Luar Israel sendiri menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.
Dalam kenyataan itu, Israel mendedahkan kapal tentera laut rejim itu telah berhubung dengan kapal GSF dan meminta mereka untuk menukar haluan.
Rejim itu turut mendakwa telah menawarkan bantuan pemindahan segala bentuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza melalui saluran selamat.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel melaporkan kononnya peserta misi flotilla enggan menerima tawaran itu serta menuduh mereka lebih berminat terhadap agenda provokasi berbanding misi penyaluran bantuan kemanusiaan.
"Israel telah memaklumkan kepada flotilla berkenaan bahawa mereka telah memasuki kawasan zon perang yang aktif dan melanggar sekatan laut yang sah di sisi undang-undang.
" Israel juga telah menawarkan untuk membantu memindahkan segala bentuk bantu kemanusiaan kepada Gaza melalui saluran lebih selamat.
" Bagaimanapun, peserta flotilla enggan menerimanya kerana mereka lebih berniat untuk menganjurkan provokasi terhadap Israel," dakwa kementerian rejim Tel Aviv.
Terdahulu, beberapa peserta sukarelawan GSF dari Malaysia mendakwa sebahagian kapal asing kini membentuk formasi bagi menghalang laluan kapal membawa bantuan mendarat di perairan Semenanjung Gaza.
Peserta GSF di bawah panji Sumud Nusantara Flotilla, Zainal Rashid Ahmad menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan kepungan yang jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan antarabangsa.
“Banyak vessel membentuk formasi menghalang laluan kemanusiaan ke Gaza. Ini adalah cubaan kepungan terhadap misi bantuan. Dunia diseru untuk menolak sekatan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya dalam laporan kepada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menerusi platform Facebook awal pagi tadi.
Turut bersama dalam misi itu ialah tokoh kemanusiaan, Nadir Al-Nuri dan Musa Nuwairy yang masing-masing berkongsi mesej sama melalui platform media sosial mereka.
Selain tiga tokoh sukarelawan berkenaan, seramai 20 lagi rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran ke Gaza dengan menaiki kapal-kapal flotila berlainan.
Sementara itu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim mengesahkan pihaknya menerima 10 laporan daripada kapal flotila Malaysia bahawa kini sedang berlaku formasi kapal perang rejim Zionis yang mengepung kawasan flotila.
“Semua dimohon untuk mengikuti perkembangan semasa melalui tracker dan CCTV secara langsung,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah kapal yang menyertai misi GSF ke Gaza sudah melepasi Zon Merah 3.
Pendakwah bebas, PU Rahmat yang turut serta sebagai sukarelawan berkata mereka kini berada kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.
Terdahulu, seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan bagi memecahkan kepungan Israel di Semenanjung Gaza.
Ringkasan AI
- Kapal tentera laut Israel didakwa memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang membawa makanan dan bekalan perubatan
- Flotila itu sudah memasuki zon perairan merah dan berdepan ancaman provokatif termasuk dron sebelum dipintas
- Kementerian Luar Israel menyatakan mereka telah berhubung dengan kapal GSF dan meminta mereka menukar haluan
- Peserta misi flotila enggan menerima tawaran bantuan pemindahan dari Israel kerana didakwa lebih berminat terhadap agenda provokasi
- Banyak kapal asing membentuk formasi untuk menghalang laluan kapal membawa bantuan mendarat di perairan Semenanjung Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
