PGA gempur lombong emas haram di Gua Musang, 12 individu ditahan

GUA MUSANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram di Sungai Kelaik di sini selepas menahan 12 individu termasuk pemilik menerusi Op Bersepadu Khazanah pada Rabu.
Dalam operasi kira-kira jam 4 pagi itu, kesemua yang ditahan masing-masing berusia 21 hingga 43 tahun.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, seorang Orang Asli (lelaki), tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan lesen melombong yang sah.
"Malah tiga pekerja warga Indonesia didapati tinggal lebih masa di negara ini manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut beliau, turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk melombong antaranya sebuah jentera berat jenis excavator, mesin pam air serta beberapa kelengkapan lain dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM520,000.
Ujarnya, kesemua suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Mineral 2001 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Pasukan Gerakan Am menumpaskan kegiatan melombong emas haram di Sungai Kelaik, Gua Musang dengan menahan 12 individu termasuk pemilik
- Individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 43 tahun dan terdiri daripada warga tempatan, Orang Asli dan warga Indonesia
- Kesemua yang ditahan gagal mengemukakan lesen melombong yang sah
- Peralatan melombong bernilai RM520,000 dirampas termasuk excavator dan mesin pam air
- Kes disiasat mengikut Enakmen Mineral 2001 dan Akta Imigresen 1959/63
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

