Kapal Morgana akhirnya dipintas tentera Israel

GAZA – Kapal bantuan kemanusiaan Morgana yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan didakwa berjaya melepasi kepungan awal tentera laut Israel sebelum ini, kini dilaporkan dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Menurut data pelayaran terakhir pada jam 22:53 UTC (6.53 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan berada di koordinat 31°42.322′ N, 33°19.956′ E iaitu kira-kira 50 kilometer dari pesisir Gaza, sebelum komunikasi terputus.
Kapal itu dilaporkan bergerak pada kelajuan 3.24 knot dengan haluan 45 darjah, sebelum komunikasi terputus.
Morgana yang membawa bantuan makanan, ubat-ubatan serta aktivis dari pelbagai negara merupakan salah sebuah vesel aman dalam konvoi flotila yang ditugaskan menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sekretariat Nusantara Care Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengesahkan seramai 201 daripada 497 peserta flotila, termasuk 12 rakyat Malaysia, dipercayai ditahan di atas kapal oleh tentera Israel setakat pagi Khamis.
“Setakat jam 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas rejim Zionis termasuk kapal Sirius, Alma, Huga, Grande Blu dan Hio yang membawa delegasi Malaysia terdiri daripada tujuh lelaki serta lima wanita,” katanya.
Beliau berkata, selain Morgana, beberapa kapal lain turut ditahan iaitu Adara, Spectre, Deir Yassin Mali, Yulara, Aurora, Otaria, Seulle dan Mohammad Bhar.
GSF yang melibatkan lebih 500 aktivis dari 44 negara sebelum ini berlayar ke Gaza bagi membawa mesej solidariti serta menyalurkan bantuan terus kepada penduduk yang terkesan akibat kepungan berpanjangan Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

