MEDO bimbang berat sebelah tafsir pemandu 'aktif'

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Perkhidmatan E-Hailing dan Penghantaran Malaysia (MEDO) menyuarakan beberapa kebimbangan berhubung mekanisme had kelayakan tambahan subsidi petrol BUDI95 untuk pemandu e-hailing dan p-hailing termasuk risiko pelaksanaan yang mungkin menjejaskan komuniti pekerja gig.
Presidennya, Masrizal Mahidin berkata, antara kebimbangan utama adalah keterlibatan penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang berpotensi berat sebelah dalam mentafsir definisi ‘aktif’ hanya berdasarkan tafsiran platform tertentu.
Beliau mencadangkan kerajaan menggunakan kriteria objektif seperti bilangan perjalanan, jumlah jam operasi atau pendapatan yang diselia pihak ketiga bagi memastikan keadilan untuk semua pemandu.
“Proses permohonan yang rumit juga boleh menyebabkan ramai pemandu gagal mendapat manfaat tersebut. MEDO mengesyorkan permohonan dilakukan secara mudah melalui aplikasi rasmi BUDI95 yang diintegrasikan dengan sistem Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan penyedia e-hailing,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Masrizal, terdapat risiko ketirisan dan manipulasi apabila individu bukan pemandu aktif cuba menuntut kuota tambahan.
“Bagi mengelak perkara itu, MEDO mencadangkan ia dihadkan kepada pemandu berdaftar dengan Lesen EVP (e-hailing) atau ID aktif p-hailing,"” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan mengambil kira faktor geografi memandangkan pemandu di luar bandar menggunakan petrol lebih tinggi kerana jarak perjalanan jauh, walaupun jumlah perjalanan lebih rendah berbanding di bandar.
“Mekanisme kelayakan tambahan mesti mempertimbangkan kategori bandar, sub-urban dan luar bandar supaya tiada pemandu tercicir,” katanya.
Dalam pada itu, MEDO menyambut baik kenyataan kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MoF) dan APAD yang akan berurusan dengan penyedia perkhidmatan e-hailing bagi memuktamadkan mekanisme had kelayakan tambahan subsidi petrol tersebut.
Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan serius mendengar suara pekerja gig serta berusaha memastikan komuniti e-hailing dan p-hailing tidak dipinggirkan.
Mengulas mengenai had kelayakan tambahan BUDI95, MEDO mengemukakan saranan had kelayakan tambahan iaitu 500 hingga 600 liter sebulan untuk pemandu e-hailing kereta dan 200 hingga 250 liter sebulan bagi p-hailing motosikal.
“Kami juga menolak penggunaan istilah separuh masa atau sepenuh masa kerana sifat kerja gig bersifat dinamik dan rentas platform.
“Oleh itu, kelayakan tambahan seharusnya berpandukan data operasi, bukan status pekerjaan.
“Prinsip utama ialah mekanisme perlu telus, jelas dan inklusif agar pekerja gig yang beroperasi rentas platform tidak tercicir,” katanya.
Ringkasan AI
- MEDO mengutarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan subsidi petrol BUDI95 yang mungkin memihak kepada tafsiran penyedia perkhidmatan e-hailing tentang status "aktif" pemandu
- Presiden MEDO mencadangkan kerajaan menggunakan kriteria objektif untuk menentukan kelayakan pemandu demi keadilan
- Risiko ketirisan dan manipulasi dalam kuota tambahan dibincangkan, dengan cadangan kuota dihadkan kepada pemandu berdaftar
- MEDO menekankan perlunya mempertimbangkan faktor geografi dalam menentukan kelayakan subsidi petrol
- MEDO menyambut baik usaha kerajaan melibatkan penyedia perkhidmatan e-hailing untuk memuktamadkan mekanisme subsidi, mengemukakan saranan had kelayakan tambahan berpandukan operasi bukan status pekerjaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

