RON95 turun harga legakan poket rakyat

Harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September di bawah program BUDI95.
Harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September di bawah program BUDI95.
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan menurunkan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September sememangnya melegakan rakyat.

Di saat kos sara hidup kian menekan, apa sahaja bentuk pengurangan perbelanjaan harian ibarat menarik nafas lega, khususnya pengguna yang setiap hari menggunakan kenderaan sendiri.

Namun, di sebalik rasa syukur itu, tersimpan persoalan, adakah penurunan harga ini benar-benar meringankan beban rakyat dalam jangka panjang atau sekadar penyelesaian sementara yang kelak menambah beban kepada dasar fiskal negara.

Tidak dinafikan, penurunan harga minyak memberi kesan psikologi yang positif. Ramai pengguna percaya harga barang dan kos logistik sepatutnya turut berkurangan.

Dalam teori ekonomi, apabila kos pengangkutan menurun, harga barangan juga akan stabil. Namun, realitinya di Malaysia, kita sering melihat harga barang keperluan jarang sekali turun walaupun harga minyak murah. Akhirnya, manfaat penjimatan hanya terasa ketika mengisi minyak, tetapi tidak banyak membantu dalam mengimbangi kos keseluruhan sara hidup.

Kerajaan menanggung jumlah subsidi yang sangat besar untuk mengekalkan harga bahan api pada paras rendah. Subsidi minyak sering menjadi perbahasan hangat kerana wujud risiko ketirisan yang tinggi, penyeludupan minyak ke negara jiran, pembelian berlebihan oleh pihak tidak layak dan kelemahan pemantauan agihan.

Ironinya, subsidi ini bersifat ‘universal’. Golongan berpendapatan tinggi dengan kenderaan mewah juga menikmati faedah sama seperti rakyat biasa. Adakah wajar kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk menampung kos bahan api, sedangkan manfaat tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran?

Mungkin Malaysia masih mencari formula terbaik, antara dilema populisme politik dan keberanian melaksanakan reformasi. Jika kita terus kekal dengan pendekatan lama, ia ibarat ‘menang sorak tetapi kampung tergadai’. Rakyat mungkin berasa lega seketika, namun kewangan negara dibimbangi menanggung risiko jangka panjang.

Kesan terbesar subsidi minyak adalah terhadap kedudukan fiskal negara. Wang berbilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk pendidikan, kesihatan, teknologi atau infrastruktur ‘dikunci’ untuk menampung bahan api.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, jika kerajaan suatu hari terpaksa menarik balik subsidi itu secara drastik, rakyat akan menerima kejutan harga berganda. Situasi ini bukan mustahil.

Dalam era dunia menuju ke arah tenaga hijau dan pengurangan bahan api fosil, harga minyak yang terlalu murah menghalang proses peralihan tenaga. Rakyat akan kurang berminat untuk beralih kepada kenderaan elektrik atau teknologi hijau kerana kos petrol masih rendah.

Malaysia berisiko terperangkap dalam kitaran bergantung kepada bahan api murah tanpa memikirkan kelestarian masa depan.

Ia bukan bermaksud subsidi minyak harus dimansuhkan. Apa yang diperlukan ialah keberanian politik untuk merombak dasar agar lebih bersasar.

Teknologi digital atau aplikasi khusus boleh digunakan bagi memastikan hanya golongan layak menerima manfaat.

Selain itu, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme pemantauan harga barangan. Penurunan harga minyak seharusnya diterjemahkan kepada kos barangan lebih rendah, bukan sekadar melegakan di stesen minyak.

Biarpun penurunan harga RON95 disambut gembira oleh rakyat, namun kita tidak boleh terperangkap dalam manfaat jangka pendek tanpa memikirkan implikasi jangka panjang.

Subsidi minyak mungkin nampak ‘ringan’ di poket rakyat tetapi ‘berat’ kepada dasar fiskal negara untuk tempoh jangka panjang.

Pada 22 September, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sistem subsidi bersasar petrol RON95 diberi secara berperingkat kepada rakyat.

Bermula 27 September, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi tersebut menerusi inisiatif BUDI95. Diikuti penerima STR yang merupakan golongan B40 pada 28 September, sementara 16 juta rakyat berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!