Misi kemanusiaan ke Gaza dilindungi Resolusi PBB

SHAH ALAM - Israel tidak mempunyai hak untuk menyerang kapal atau peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam perjalanan ke Gaza kerana perkara itu telah termaktub dalam Resolusi 2720, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023.
Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, resolusi yang diluluskan pada 22 Disember 2023 itu jelas memberi jaminan bahawa mana-mana misi kemanusiaan ke Gaza perlu diberi laluan selamat tanpa sebarang halangan.
Menurutnya, Resolusi 2720 menetapkan empat perkara utama iaitu bantuan kemanusiaan ke Gaza, pembukaan laluan sempadan, pelantikan Koordinator Kemanusiaan PBB dan tekanan kepada semua pihak bertikai agar mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Bagi bantuan kemanusiaan, resolusi menekankan keperluan mendesak untuk menyalurkan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan keperluan asas lain ke Gaza. Semua pihak diminta memberi laluan selamat tanpa halangan.
“Resolusi ini juga menyeru supaya lebih banyak lintasan sempadan Gaza dibuka termasuk Kerem Shalom bagi mempercepatkan penghantaran bantuan, selain melantik seorang Koordinator Kemanusiaan dan Rekonstruksi PBB untuk menyelaras dan memantau penghantaran bantuan antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, resolusi itu digubal selepas perang Israel dan Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan krisis kemanusiaan besar di Gaza apabila ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, kekurangan bekalan asas dan sistem kesihatan hampir lumpuh.
Ahmad Marthada menjelaskan, walaupun resolusi itu telah diluluskan PBB, Israel tidak mengiktirafnya dan bertindak menghalang misi kemanusiaan ke Gaza.
“Kita lihat banyak bantuan yang cuba disalurkan melalui lautan diserang, diganggu dan dihalang. Malah ada peserta misi yang ditangkap dan dipenjarakan.
“Ini semua tindakan kejam dan ganas rejim Zionis yang sebenarnya mahu menghapuskan negara Palestin dan rakyatnya daripada muka bumi. Bukan sahaja mereka mengebom, menghancurkan bangunan serta membunuh orang awam, malah bantuan kemanusiaan juga disekat,” jelasnya.
Tambah beliau, dari sudut undang-undang antarabangsa, kapal dan peserta misi kemanusiaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah dilindungi di bawah Resolusi 2720 serta norma standard antarabangsa sama seperti misi pengaman PBB dan Pertubuhan Palang Merah yang tidak boleh diserang.
Ringkasan AI
- Israel tidak mempunyai hak menyerang kapal atau peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang menuju ke Gaza berdasarkan Resolusi 2720 PBB
- Resolusi 2720 menekankan bantuan kemanusiaan ke Gaza, pembukaan sempadan, pelantikan Koordinator Kemanusiaan PBB, dan kepatuhan terhadap undang-undang antarabangsa
- Resolusi dibuat selepas perang Israel dan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan krisis kemanusiaan di Gaza
- Israel tidak mengiktiraf resolusi PBB dan menghalang misi kemanusiaan ke Gaza
- Kapal dan peserta misi kemanusiaan dilindungi di bawah Resolusi 2720 dan norma antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

