Philadelphia jadi 'Zombieland'

PHILADELPHIA – Kensington Avenue, sebuah jalan yang terkenal sebagai pasar dadah terbuka paling besar di Amerika Syarikat (AS) kini menghadapi ancaman baharu yang membimbangkan.
Dadah sintetik medetomidine yang asalnya digunakan sebagai penenang haiwan, yang dicampur bersama fentanyl menjadikan kawasan itu seolah-olah menjadi 'Zombieland' sebenar.
Sejak bertahun-tahun, kawasan tersebut menjadi tumpuan pengguna bahan berbahaya berkenaan.
Pelbagai golongan peringkat usia sering datang ke jalan ini untuk mencari keseronokan dadah yang murah dan kuat.
Dahulu, heroin menjadi bahan utama. Kemudian muncul fentanyl, atau fetty yang jauh lebih berbahaya kerana risiko terlebih dos.
Tidak lama selepas itu, muncul pula xylazine, atau tranq yang menyebabkan pengguna berada dalam keadaan separa sedar dan melemahkan fungsi tubuh.

Kini, medetomidine menambahkan risiko baharu yang lebih serius.
Menurut laporan Dispatch dan The Free Press, seorang lelaki bernama Sean menyaksikan secara langsung bagaimana medetomidine dicampur dengan fentanyl di sepanjang Kensington Avenue.
Bahan tersebut memberi kesan khayal yang kuat membuatkan pengguna berada dalam keadaan hampir seperti zombie apabila tidak mampu bergerak dengan normal dan menghadapi risiko kecederaan atau kematian yang tinggi.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pengguna, tetapi juga masyarakat sekitar.
Penduduk melaporkan peningkatan jenayah kecil, pengabaian kawasan awam dan ketidakselesaan sosial akibat ramai individu berada dalam keadaan separa sedar di jalanan.
Kawasan yang dahulu sibuk kini sunyi sepi dan suram, dihuni oleh mereka yang menghadapi ketagihan narkotik yang serius.

Pakar kesihatan awam menekankan bahawa fenomena 'Zombieland' merupakan krisis kesihatan masyarakat yang kompleks, bukan sekadar isu jenayah.
Tindakan segera diperlukan termasuk program rawatan pemulihan, pendidikan mengenai risiko dadah sintetik dan pengawasan komuniti.
Data dari hospital tempatan menunjukkan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan akibat penyalahgunaan fentanyl dan medetomidine, menandakan bahan tersebut semakin dominan dalam bekalan dadah jalanan.
Selain itu, laporan saintifik dan pemeriksaan dadah rasmi mengesahkan bahawa medetomidine telah menggantikan xylazine dalam banyak sampel dadah yang diuji sejak pertengahan 2024 hingga 2025.
Gabungan bahan tersebut bukan sahaja meningkatkan risiko dos berlebihan malah menyukarkan proses pemulihan bagi pengguna yang cuba meninggalkan tabiat tidak sihat berkenaan.

Pakar menasihatkan orang ramai agar mengenal pasti tanda-tanda awal penggunaan dadah tersebut seperti kesedaran menurun, luka terbuka dan perubahan fizikal drastik, supaya segera mendapatkan bantuan perubatan.
Fenomena menjelikkan di Philadelphia tersebut mencerminkan bagaimana krisis dadah di AS semakin membimbangkan.
Kensington Avenue yang dahulunya terkenal dengan heroin dan fentanyl, kini menjadi simbol bahaya medetomidine dan impaknya terhadap masyarakat.
Jalan ini menggambarkan realiti 'Zombieland yang sebenar di mana kehidupan, keselamatan dan kesihatan awam terancam akibat bahan sintetik yang semakin berbahaya.
Pihak berkuasa tempatan, termasuk Datuk Bandar baru Philadelphia, Cherelle Parker, telah berikrar untuk memulakan pembersihan kawasan tersebut dan bekerjasama dengan pasukan komuniti untuk mengurangkan impak krisis opioid yang telah melanda selama bertahun-tahun.
Kawasan Kensington kini dianggap sebagai pasar dadah terbuka terbesar di bahagian pantai timur AS dan usaha tersebut menandakan langkah serius perlu segera diambil terhadap masalah yang telah lama diabaikan. - Agensi
Ringkasan AI
- Kensington Avenue di Amerika Syarikat menghadapi masalah dadah sintetik medetomidine yang dicampur dengan fentanyl
- Kesan penggunaan campuran dadah ini membuat pengguna hampir seperti zombie
- Kawasan tersebut telah lama menjadi tumpuan pengguna dadah mencari bahan berbahaya dengan harga murah
- Fenomena 'Zombieland' di Kensington mencerminkan krisis kesihatan masyarakat bukan sekadar isu jenayah
- Pihak berkuasa tempatan termasuk Datuk Bandar baru Philadelphia, Cherelle Parker, berikrar memulakan pembersihan kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

