Kerajaan bakal perkenal undang-undang DPA percepat pemulihan aset

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperkenalkan kerangka undang-undang Deferred Prosecution Agreement (DPA) atau Perjanjian Pendakwaan Tertangguh bagi mempercepatkan usaha pemulihan aset negara serta memperkukuh tatakelola dan keberkesanan pendakwaan kes rasuah korporat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, SPRM kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara untuk merangka peruntukan undang-undang tersebut.
“Proses ini melibatkan beberapa agensi penguat kuasa supaya rang undang-undang ini dapat dimuktamadkan pada tahun ini dan dibentangkan di Parlimen tahun depan.
“Tujuannya adalah untuk membolehkan pemulihan aset dijalankan dengan lebih pantas tanpa menjejaskan proses perundangan sedia ada,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-58 SPRM dan Peluncuran Keep Malaysia Clean (KMC) di sini pada Rabu.
Azam menegaskan DPA masih belum diwartakan sebagai undang-undang, sebaliknya berada di peringkat perbincangan teknikal antara SPRM, Jabatan Peguam Negara serta kementerian berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan siasatan berhubung kes melibatkan seorang ahli politik di Sabah masih berjalan.
Katanya, setakat ini lebih 10 saksi termasuk individu bergelar Datuk telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM.
“Selain itu, pegawai-pegawai lain juga sudah dipanggil. Saya dimaklumkan ada video baharu yang tular di sebuah portal dan siasatan akan mengambil kira bahan tersebut.
“Proses ini masih berterusan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan lengkap,” katanya.
Dalam masa sama, Azam turut menyentuh mengenai siasatan kes berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata, sebarang keputusan untuk meneruskan atau menutup kes berkenaan terletak di bawah budi bicara Peguam Negara.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan memperkenalkan kerangka undang-undang Perjanjian Pendakwaan Tertangguh untuk mempercepat usaha pemulihan aset negara
- Langkah ini dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- SPRM bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk merangka peruntukan undang-undang tersebut
- Tujuan utama adalah membolehkan pemulihan aset dijalankan dengan lebih pantas tanpa menjejaskan proses perundangan sedia ada
- DPA masih di peringkat perbincangan teknikal dan belum diwartakan sebagai undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

