Penceramah motivasi dikesan guna nombor pendaftaran milik orang lain

Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan kenderaan SUV Toyota Fortuner yang disita JPJ kerana menggunakan nombor pendaftaran berbeza di hadapan dan belakang kenderaan.
Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan kenderaan SUV Toyota Fortuner yang disita JPJ kerana menggunakan nombor pendaftaran berbeza di hadapan dan belakang kenderaan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Penceramah motivasi ditahan berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang dekat sini kerana menggunakan nombor pendaftaran milik orang lain pada kenderaan pelbagai guna (SUV) Toyota Fortuner miliknya baru-baru ini.

Penahanan kira-kira jam 9.30 malam pada Sabtu lalu itu dibuat Unit Peronda Lebuhraya (UPLR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semakan mendapati SUV dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an itu menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran PRF yang dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor pendaftaran RF dipamerkan di bahagian belakang.

"Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF adalah wujud dan dimilik oleh individu lain.

"Semakan pangkalan data JPJ mengesan terdapat 42 saman berjumlah RM12,600 atas kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang direkodkan ke atas nombor kepunyaan atau milikan orang lain sejak tahun 2023," katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat kuasa Kalumpang di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dipercayai motif menggunakan nombor pendaftaran milik orang lain kerana mahu mengelak daripada saman AwAS.

Tambahnya, pemandu terbabit merupakan ahli perniagaan yang sering mengadakan program-program motivasi kepada bakal usahawan.

"Kita (JPJ) juga kesan lelaki ini menggunakan alamat 'dummy' pada lesen memandu serta kad pengenalan. Alamat itu wujud, tapi tiada disitu dan salah satu alamat ialah sebuah hotel.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan had kelajuan yang dikesan antara 140 hingga 160km/j di beberapa lokasi seperti Behrang, Ipoh dan Bukit Beruntung," ujarnya.

Katanya lagi, aduan kes ini dikesan susulan aduan pemilik kenderaan asal selepas menerima notis disenarai hitam.

"Untuk makluman, saman AwAS yang dikenakan terhadap pemilik asal (RF) akan dipindahkkan kepada pemilik kenderaan sebenar (PRF) yang melakukan kesalahan lalu lintas terbabit," katanya.

Tegas beliau, SUV terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan identiti selain tindakan sitaan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan undang-undang, termasuk pemalsuan nombor pendaftaran. Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem pengangkutan jalan raya di negara ini," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

 

 

Ringkasan AI

  • Penceramah motivasi ditahan kerana guna nombor pendaftaran kenderaan milik orang lain
  • Penahanan dibuat oleh Unit Peronda Lebuhraya Jabatan Pengangkutan Jalan
  • SUV tersebut menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang
  • Terdapat 42 saman AwAS berjumlah RM12,600 atas nombor milik orang lain
  • JPJ tidak akan berkompromi terhadap kesalahan pemalsuan nombor pendaftaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!