Kilang e-waste haram diserbu di Kedah, rampasan RM71.8 juta

Pelbagai peralatan dan jentera yang dirampas.
Pelbagai peralatan dan jentera yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram sebuah premis di Gurun, Kedah terbongkar hasil serbuan pihak berkuasa pada Selasa.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan lebih RM71.8 juta, melibatkan kenderaan, mesin perindustrian serta longgokan sisa yang dipercayai diproses secara haram.

"Bertindak atas maklumat risikan, serbuan dilakukan pada jam 11 pagi terhadap premis berkenaan.

"Seramai 21 pekerja lelaki iaitu seorang warga tempatan, seorang warga Pakistan, empat warga Bangladesh, enam warga India dan sembilan warga Myanmar ditahan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Rosli berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan Cawangan Risik PSP Bukit Aman, PSP 3 Pulau Pinang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai mesin, jentera berat serta longgokan bahan yang disyaki e-waste, termasuk kabel elektrik, tembaga, aluminium dan komponen elektronik.

"Sebanyak 1,043 beg jumbo berisi plastik dan ribuan tan bahan kitar semula lain turut disita," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat IPD Kuala Muda, manakala JAS Sungai Petani menyita peralatan serta barangan e-waste bagi tindakan lanjut, termasuk analisis makmal kimia.

"Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, serta Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama rentas agensi ini penting untuk mengekang kegiatan sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap kelemahan kawalan.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama kegiatan pemprosesan sisa e-waste ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Serbuan pihak berkuasa membongkar kegiatan pemprosesan sisa elektronik secara haram di Gurun, Kedah
  • Barangan rampasan bernilai lebih RM71.8 juta termasuk kenderaan dan mesin perindustrian
  • Seramai 21 pekerja dari pelbagai kebangsaan termasuk warga tempatan, Pakistan, Bangladesh, India, dan Myanmar ditahan
  • Operasi serbuan dilakukan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan bersama Jabatan Alam Sekitar
  • Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Imigresen 1959/63

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!