Isu kerusi keselamatan kanak-kanak jadi perhatian

PENGGUNAAN kerusi keselamatan kanak-kanak atau Child Restraint System (CRS) di Malaysia kembali menjadi perhatian selepas beberapa insiden kemalangan melibatkan kanak-kanak dilaporkan.
Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga dilapor mengekalkan pendiriannya berhubung kepentingan penggunaan CRS dalam kenderaan demi keselamatan penumpang cilik.
Beliau menegaskan, Kementerian Pengangkutan akan mempergiatkan kempen kesedaran penggunaan kerusi berkenaan susulan kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun selepas tercampak keluar dari kenderaan, Sabtu lalu.
Meskipun dikiritik kerana dianggap tidak sensitif terhadap nasib mangsa kemalangan, Anthony menegaskan, perkara lebih penting adalah kesedaran orang ramai agar tidak memandang ringan kepentingan CSR.
Pendirian tersebut wajar mengambil kira penegasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa CRS terbukti berkesan mengurangkan risiko kecederaan parah atau kematian, khususnya bagi penumpang bawah umur 12 tahun.
Di Malaysia, walaupun pelaksanaan mandatori CRS bermula Januari 2020, kadar pematuhannya masih rendah.
Faktor utama yang sering dibangkitkan ialah kos, memandangkan harga CRS berkualiti boleh mencecah ratusan ringgit.
Bagi keluarga berpendapatan rendah atau yang mempunyai lebih daripada seorang anak kecil, ia dianggap sebagai beban kewangan.
Ada juga yang menilai CRS tidak praktikal untuk perjalanan jarak dekat atau kenderaan yang sempit.
Walau bagaimanapun, statistik kemalangan jelas membuktikan kanak-kanak tanpa CRS lebih terdedah kepada risiko cedera teruk walaupun pada kelajuan rendah.
Oleh itu, isu ini tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut kos, tetapi sebagai langkah perlindungan nyawa yang amat penting.
Bagi meningkatkan pematuhan, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sokongan yang lebih menyeluruh antaranya ialah pemberian subsidi bersasar atau baucar pembelian CRS kepada golongan B40 dan M40.
Insentif potongan cukai juga boleh diperkenalkan bagi meringankan beban ibu bapa.
Selain itu, program tukar beli perlu dipertimbangkan di mana CRS yang masih selamat tetapi tidak lagi digunakan boleh dijual semula atau disalurkan kepada keluarga lain yang memerlukan.
Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos, malah mengelakkan pembaziran.
Di samping sokongan kewangan, aspek pendidikan masyarakat tidak boleh diabaikan.
Kesedaran tentang kepentingan CRS perlu dipupuk sejak awal, misalnya melalui hospital, klinik kesihatan dan program pra perkahwinan.
Sama seperti pemakaian tali pinggang keledar yang kini menjadi norma, penggunaan CRS harus dibudayakan sehingga dilihat sebagai keperluan asas, bukan pilihan.
Hakikatnya, meskipun terdapat cabaran kewangan dan persepsi, keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi.
Jika kerajaan menyediakan subsidi, insentif cukai dan program tukar beli, disokong dengan kempen kesedaran berterusan, Malaysia berpotensi meningkatkan kadar pematuhan CRS, bagi mengurangkan impak kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
