Malaysia sedia bekerjasama dengan AS demi keamanan Gaza

SHAH ALAM - Malaysia sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan anggota masyarakat antarabangsa dalam menyokong usaha murni bagi mencapai keamanan di Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menekankan bahawa pelaksanaan pelan berkenaan mestilah sejajar dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi-resolusinya yang berkaitan.
Menurut kenyataan itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk memastikan perlindungan terhadap rakyat Palestin serta menangani isu keadilan dan akauntabiliti.
“Aspek-aspek ini amat penting bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, keselamatan serta kestabilan kepada semua pihak di rantau berkenaan.
“Malaysia menyambut baik usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menamatkan perang oleh Israel ke atas Gaza melalui pelan komprehensif yang diumumkan pada 29 September 2025 di Washington.
“Pelan tersebut, yang telah sekian lama dinantikan masyarakat antarabangsa, merupakan langkah penting ke arah menamatkan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza,” katanya pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, Malaysia berharap agar pelan ini dapat dilaksanakan dengan baik serta membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan pengunduran tentera Israel.
“Dalam masa sama, diharapkan kepulangan pelarian rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa serta pembinaan semula Gaza,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Malaysia sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam menyokong usaha keamanan di Gaza
- Pelaksanaan pelan keamanan harus sejajar dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB
- Perlindungan rakyat Palestin dan isu keadilan serta akauntabiliti menjadi fokus
- Usaha Presiden AS, Donald Trump diumumkan untuk menamatkan perang Gaza
- Pelan tersebut bertujuan menamatkan kezaliman, memudahkan bantuan kemanusiaan, dan pembinaan semula Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

