Malaysia desak tidak halang laluan masuk bantuan ke Gaza

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Akhbar Kanannya, Tengku Nashrul Tengku Abaidah menegaskan, ini kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk Gaza yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
"Sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel," katanya pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan itu selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia Madani.
"Keberanian serta ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza," jelasnya.
Setakat ini, Global Sumud Flotilla yang disertai lebih 44 negara dengan lebih 50 buah kapal telah bergerak dari beberapa pelabuhan Mediterranean menuju ke Gaza bagi membawa bantuan makanan serta ubat-ubatan.
Malaysia menerusi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai konvoi berkenaan melalui inisiatif Sumud Nusantara.
Menurut laporan antarabangsa, sebahagian kapal flotilla kini berada dalam zon kuning berhampiran perairan berisiko tinggi dengan beberapa insiden gangguan dron dilaporkan.
Keadaan itu menambah kebimbangan terhadap keselamatan aktivis kemanusiaan, termasuk sukarelawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan.
Gerakan flotilla kali ini dilihat sebagai simbol solidariti global terhadap Palestin, sekali gus menekan pihak antarabangsa agar membuka akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan demi meringankan penderitaan lebih dua juta penduduk Gaza.
Ringkasan AI
- Malaysia mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim memantau rapat perkembangan misi bantuan ke Gaza
- Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong usaha kemanusiaan ke Gaza
- Global Sumud Flotilla yang melibatkan lebih 44 negara bawa bantuan makanan dan ubat ke Gaza
- Keselamatan aktivis kemanusiaan, termasuk sukarelawan Malaysia, menjadi kebimbangan akibat gangguan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

