Malaysia kekal tegas isu Palestin, tetap jemput Trump

Malaysia menegaskan pendirian terhadap Palestin tidak pernah berubah walaupun Presiden AS, Donald Trump bakal hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
Malaysia menegaskan pendirian terhadap Palestin tidak pernah berubah walaupun Presiden AS, Donald Trump bakal hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia menegaskan pendirian terhadap Palestin tidak pernah berubah walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.

Pejabat Perdana Menteri melalui Setiausaha Akhbar Kanan, Tengku Nashrul Tengku Abaidah berkata, keputusan mengekalkan jemputan kepada Trump adalah selaras dengan prinsip diplomasi yang menuntut keberanian menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukannya mengelak.

“Malaysia konsisten membela Palestin sejak dahulu malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara suara paling lantang di dunia menentang kekejaman Israel.

"Menolak kehadiran Trump bukanlah jalan penyelesaian kerana diplomasi perlu diurus dengan matang,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa.

Menurut beliau, jemputan itu bukanlah pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, sebaliknya menunjukkan penghormatan kepada ASEAN sebagai satu blok serantau dan Malaysia sebagai pengerusi.

Katanya, kepengerusian ASEAN hanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun bagi sesebuah negara dan inilah peluang terakhir Malaysia sebelum menyerahkan giliran kepada Filipina.

“Malaysia membawa suara ASEAN agar sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata, tetapi juga agenda bersama seperti memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan dan mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia,” katanya.

Tengku Nashrul berkata, kehadiran pemimpin kuasa besar termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea, Australia dan GCC akan memperlihatkan kekuatan ASEAN sebagai rakan dialog yang relevan di mata dunia.

“Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah dan lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat serta bijaksana mengimbangi diplomasi global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa diplomasi memerlukan keberanian untuk menyuarakan kebenaran secara terus kepada pemimpin dunia.

“Menutup pintu kepada mana-mana pihak tidak akan membawa penyelesaian, sebaliknya ia perlu diuruskan secara profesional agar suara ASEAN kekal didengar,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung Oktober ini dianggap bersejarah kerana Malaysia menjadi tuan rumah dalam suasana geopolitik dunia yang semakin mencabar sekali gus menguji kewibawaan kerajaan untuk menampilkan kepimpinan berimbang.

 

Ringkasan AI

  • Malaysia menegaskan pendirian terhadap Palestin tidak berubah walaupun Donald Trump bakal hadir Sidang Kemuncak ASEAN
  • Pejabat Perdana Menteri menyatakan mengekalkan jemputan kepada Trump selaras dengan prinsip diplomasi
  • Malaysia konsisten membela Palestin
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenal sebagai salah satu suara terlantang menentang Israel
  • Menolak kehadiran Trump bukan penyelesaian, diplomasi harus diurus secara matang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!