BUDI95: KPDN Johor ketat kawal sempadan elak kenderaan asing isi RON95

Lilis Saslinda (dua,kiri) meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.
Lilis Saslinda (dua,kiri) meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memperketatkan pemantauan di semua stesen minyak khusus di sempadan Malaysia - Singapura bagi mengelakkan kenderaan asing mengambil kesempatan susulan pelaksanaan BUDI Madani RON95 (BUDI95).

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornoma berkata, larangan itu sudah jelas dan menjadi tanggungjawab pengusaha stesen minyak memastikan hanya kenderaan berdaftar di Malaysia dibenarkan menikmati subsidi RON95 pada harga RM2.60 seliter, manakala kenderaan asing perlu menggunakan RON97.

“Memang tidak ada kompromi. Mana-mana kenderaan pendaftaran asing sama sekali tidak dibenarkan mengisi RON95. Kita percaya negara jiran juga maklum dengan pendirian tegas Kerajaan Malaysia.

“Pemantauan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan walaupun tidak mungkin kita letakkan pegawai penguat kuasa di setiap stesen minyak. Namun, kita ada kekuatan sedia ada dan kerjasama pengusaha stesen serta orang ramai amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Yahya Awal, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, sekiranya sistem digital tergendala, pengguna masih boleh membuat pengisian melalui kaedah manual di kaunter stesen minyak sebelum pengesahan lanjut dibuat oleh pihak pengendali.

Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan platform aduan khas bagi orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung sebarang penyelewengan subsidi bahan api.

Dalam masa sama, katanya, pemilik kenderaan pengangkutan awam dan barangan perlu segera mendaftar dengan sistem MySubsidi Petrol Kenderaan Pengangkutan Darat (MySPPKS) untuk menikmati harga subsidi berkenaan.

“Kita akan adakan Hari Bertemu Pelanggan antara 1 hingga 7 Oktober ini bagi membantu pengusaha teksi, kereta sewa dan pengangkutan barangan yang masih belum membuat pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tak pasti atau ada masalah isi borang dalam talian, mereka boleh terus datang ke pejabat KPDN Johor untuk kita bantu,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!