[VIDEO] BUDI95: CDL tamat tempoh 3 tahun, pemegang lesen hilang subsidi RON95
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang telah tamat tempoh lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem Kementerian Kewangan (MoF) akan membuat sekatan terhadap mana-mana lesen yang tidak sah.
"Lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun masih dianggap aktif dalam sistem. Tetapi jika sudah lebih tiga tahun, ia dikira tidak aktif dan individu berkenaan secara automatik hilang kelayakan subsidi,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurut beliau, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati terdapat 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten yang berada dalam status tidak aktif kerana tamat tempoh melebihi tiga tahun.
"Daripada lebih 15 juta lesen yang aktif, seramai 925,421 orang tamat tempoh tetapi belum melebihi tiga tahun.
"Ini termasuk 551,688 yang tamat kurang setahun, 219,092 antara satu hingga dua tahun dan 154,641 antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Anthony berkata, kumpulan ini digesa segera memperbaharui lesen masing-masing bagi mengelak dikenakan semula ujian memandu.
"Kalau mereka biarkan sampai lebih tiga tahun, mereka bukan sahaja hilang kelayakan subsidi RON95 tetapi juga wajib menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian II dan III.
"Saya nasihatkan mereka perbaharui segera. Sekarang proses pembaharuan lesen sangat mudah, melalui aplikasi MyJPJ pun boleh dibuat dalam masa dua minit sahaja,” jelasnya.
Menurut beliau, sejak pengumuman syarat BUDI95 pada 22 September lalu, JPJ merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan CDL melalui aplikasi MyJPJ, MySikap, kios dan kaunter.
"Kita sudah berikan peringatan awal kepada rakyat supaya semak tarikh tamat lesen masing-masing.
"Jangan pula marah kerajaan jika tidak dapat subsidi kerana kita sudah maklumkan awal,” katanya.
Anthony turut memberi peringatan kepada 154,000 pemegang lesen yang hampir mencecah tempoh tiga tahun tamat tempoh supaya segera bertindak.
"Jangan tunggu sehingga tidak aktif kerana ia akan menyusahkan diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony menjelaskan bayaran pembaharuan lesen hanya RM30 setahun dan diskaun diberi jika diperbaharui untuk tempoh 10 tahun.
"Kerajaan sudah mudahkan, hanya tinggal tanggungjawab pemilik lesen untuk ambil tindakan. Jangan tunggu sehingga hilang kelayakan baru hendak panik,” katanya.
Ringkasan AI
- PUTRAJAYA – Pemegang Lesen Memandu Kompeten yang telah tamat tempoh memandu selama tiga tahun tidak layak mendapat subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem Kementerian Kewangan akan menyekat mana-mana lesen yang tidak sah atau tidak aktif
- Apabila capai tiga tahun tidak perbaharui CDL, mereka tidak layak dapat subsidi RON95 secara automatik kerana apabila lesen tak sah, ia akan disekat melalui sistem MoF
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

