PKR Johor Bahru bantah pelantikan Ketua Masyarakat Cina tanpa wakil PH

Gerald Tang Mun Hon
Gerald Tang Mun Hon
A
A
A

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru menyatakan bantahan keras dan rasa kecewa terhadap senarai pelantikan Ketua Masyarakat Cina dan Kampung Baru bagi penggal 2025–2027 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Gerald Tang Mun Hon berkata, walaupun Pakatan Harapan (PH) merupakan komponen penting dan aktif dalam Kerajaan Perpaduan, tiada satu pun pelantikan di Johor Bahru diberikan kepada wakil dari gabungan itu.

"Sebaliknya, kesemua jawatan telah diserahkan sepenuhnya kepada MCA di bawah Barisan Nasional.

"Perkara ini menimbulkan persoalan asas: wujudkah benar-benar sebuah kerajaan campuran di Johor?" katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menegaskan semangat kerajaan campuran adalah pentadbiran bersama, saling menghormati dan perwakilan yang adil.

"Pelantikan ini, yang dibuat tanpa perundingan atau penglibatan Pakatan Harapan, jelas bertentangan dengan semangat perpaduan yang menjadi asas kerajaan persekutuan kita," tegas beliau.

Sehubungan itu, PKR Johor Bahru menuntut penjelasan dan pertimbangan semula segera terhadap senarai pelantikan tersebut.

"Rakyat Johor Bahru, khususnya komuniti Cina dan penduduk Kampung Baru, berhak mendapat pemimpin masyarakat yang dilantik melalui proses yang telus serta mencerminkan kepelbagaian dan kehendak rakyat.

"Kami bersedia untuk berkhidmat dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Namun, pengabaian kami dalam proses pelantikan penting ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan kami dalam kerajaan campuran, tetapi juga kepercayaan penyokong akar umbi kami," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau, menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan untuk meneliti semula perkara tersebut bagi memastikan perwakilan yang adil dan sejajar dengan semangat kerajaan campuran yang telah dibina bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!