Harap BUDI95 berjalan lancar

SHAH ALAM – Hari ini merupakan ujian sebenar ke atas kecekapan sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) apabila lebih 16 juta rakyat layak menebus subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan berkata, sebarang kelemahan pada sistem berkenaan akan memberi kesan terus kepada jutaan pengguna di stesen minyak.

“30 September (hari ini) adalah tarikh penting dan akan menjadi stress test sebenar terhadap keberkesanan sistem BUDI95. Berdasarkan pengalaman lalu dengan MyKasih untuk SARA (Sumbangan Asas Rahmah), kelewatan serta gangguan teknikal pernah menimbulkan keresahan pengguna.
“Kali ini, BUDI95 akan benar-benar menguji persiapan teknikal, infrastruktur rangkaian dan kapasiti sistem untuk menampung trafik tinggi secara serentak,” katanya.
Menurut beliau, beberapa langkah segera perlu diambil antaranya meningkatkan kapasiti sistem dengan memastikan server dan rangkaian terbaik serta mampu menampung jumlah pengguna serentak sangat besar bagi mengelakkan masalah sama berulang.
Selain itu, Saravanan berkata, komunikasi jelas kepada pengguna amat penting supaya mereka dimaklumkan segera jika berlaku gangguan termasuk langkah alternatif atau penebusan sementara agar tidak menimbulkan panik di stesen minyak.
“Saluran bantuan segera seperti talian hotline, aplikasi sokongan atau help desk khusus juga mesti disediakan bagi menangani aduan teknikal pengguna dengan pantas.
“Pada masa sama, kerjasama rapat dengan operator stesen minyak diperlukan supaya mereka dilatih dan dibekalkan maklumat jelas untuk membantu pengguna berdepan masalah teknikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saravanan memberitahu, Fomca berharap pengalaman pahit pengguna ketika menebus SARA tidak berulang dengan pelaksanaan BUDI95.
“Sistem yang cekap, mesra pengguna dan telus amat penting bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap inisiatif ini. Ketelusan komunikasi serta keupayaan menangani masalah secara pantas akan menjadi ukuran kejayaan sebenar BUDI95,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin mengingatkan pengguna agar tidak berpusu-pusu menyerbu stesen petrol sekiranya masih mempunyai baki minyak dalam kenderaan.

“Jadi kenapa hendak serbu stesen minyak beramai-ramai. Bertenang dan jangan panik. Jika sistem bersedia, maka tidak akan jadi masalah,” tegas beliau.
Bermula tengah malam tadi, seramai 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat daripada inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Harga itu lebih murah berbanding kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2.05 seliter dengan setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.
BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40.
Pelaksanaan penuh inisiatif tersebut pada hari ini juga menandakan satu langkah bersejarah, bukan sahaja kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada jutaan pengguna malah kerana pendekatannya yang lebih tersasar, telus dan kalis ketirisan.
Malah, BUDI95 juga menutup ruang penyelewengan kerana bukan warganegara dan kenderaan berdaftar asing perlu membayar harga pasaran penuh.
Bagi pengguna, BUDI95 menawarkan kaedah transaksi yang mudah dan ringkas kerana hanya memerlukan MyKad serta lesen memandu sah bagi tujuan pengesahan kelayakan secara automatik.
Ringkasan AI
- Hari ini ujian sebenar sistem Budi Madani RON95 apabila lebih 16 juta rakyat layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter
- Dr T Saravanan menyatakan pentingnya menaik taraf kapasiti sistem untuk mengelakkan masalah teknikal akibat trafik tinggi
- Komunikasi jelas kepada pengguna ditekankan untuk mengelakkan panik apabila berlaku gangguan
- Nur Asyikin Aminuddin mengingatkan pengguna agar tidak berpusu-pusu ke stesen minyak jika masih ada baki minyak
- Pelaksanaan BUDI95 menandakan langkah bersejarah dalam menyediakan subsidi petrol yang lebih tersasar dan mengelakkan penyelewengan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

