BUDI95: RM22.9 juta transaksi direkodkan pada hari kedua

Hari kedua pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI95 merekodkan transaksi RM22.9 juta
Hari kedua pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI95 merekodkan transaksi RM22.9 juta
A
A
A

PUTRAJAYA – Hari kedua pelaksanaan sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) merekodkan transaksi RM22.9 juta bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada Ahad.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan sistem BUDI95 kekal stabil apabila ia dibuka kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan lesen memandu aktif.

“Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak seluruh negara dengan pengesahan MyKad berjalan lancar,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, sistem tersebut akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula esok.

“Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lalu, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95,” katanya.

Ujar MOF, portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi.

“Untuk mengakses ciri ini, pengguna perlu mendaftar dan log masuk ke portal BUDI95 dengan menggunakan MyDigital ID.

“MyDigital ID digunakan sebagai langkah keselamatan bagi memelihara identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, MOF mengingatkan orang ramai untuk memastikan maklumat pada lesen memandu masing-masing sepadan dengan nombor MyKad 12 digit bagi mengelakkan gangguan semasa transaksi.

Artikel Berkaitan:

Antara yang perlu disemak termasuk nombor MyKad, ejaan nama, kelas dan jenis kenderaan yang dinyatakan pada lesen.

“Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, pemegang lesen diminta hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat,” katanya.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi www.budimadani.gov.my.

Ringkasan AI

  • Hari kedua pelaksanaan sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 merekodkan transaksi RM22.9 juta
  • Sistem BUDI95 kekal stabil untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah dengan lesen memandu aktif
  • Hampir 500,000 penerima STR telah melakukan transaksi BUDI95
  • Sistem akan diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif
  • Portal BUDI95 dilengkapkan dengan ciri semakan sejarah transaksi yang memerlukan MyDigital ID untuk akses

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!